
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan untuk mengklasifikasikan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sebagai kes tidak boleh dijamin, demi keselamatan awam.
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Faizi Che Abu mengemukakan demikian sebagai reaksi kepada Menteri Pengangkutan.
Anthony Loke Siew Fook berkata, tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kes memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Gesaan awam terhadap hukuman itu timbul susulan beberapa kejadian kemalangan dahsyat hingga membawa maut pihak tidak bersalah yang berpunca daripada pemandu mabuk alkohol atau arak, mutakhir ini.
Mohd Faizi sendiri sebelum ini berpandangan bahawa pertuduhan membunuh boleh dikenakan berdasarkan tafsiran perundangan yang lebih luas walaupun kemalangan maut merupakan kes pemanduan.
Mengulas kenyataan Anthony, pengamal undang-undang itu berkata, meskipun soal hukuman mati boleh diputuskan kerajaan, keutamaan ketika ini adalah menutup ruang kelemahan dalam sistem sedia ada.
Jelas peguam yang banyak mengendalikan kes-kes seumpama di mahkamah itu, kelemahan tersebut di mana membolehkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan dalam tempoh singkat.
“Dalam kes di bawah Seksyen 44, seseorang boleh didakwa pada waktu pagi dan dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan. Ini menimbulkan persoalan besar dari sudut keselamatan,” katanya.
Tambahnya, keadaan ini membuka kemungkinan tertuduh kembali memandu walaupun lesen telah digantung, memandangkan kemahiran memandu tidak terhapus hanya dengan penggantungan lesen.
Beliau turut membandingkan dengan beberapa kes lain seperti penculikan, pengedaran dadah dan pemilikan senjata api yang diklasifikasikan sebagai tidak boleh dijamin walaupun tidak semestinya melibatkan kematian secara langsung.
Terang Mohd Faizi, kesalahan memandu mabuk juga mempunyai potensi tinggi mendatangkan bahaya kepada orang awam dan sewajarnya diberi layanan undang-undang setara.
“Jika diklasifikasikan sebagai tidak boleh dijamin, ia akan memberi kesan pencegahan yang lebih kuat. Orang akan berfikir dua kali sebelum memandu dalam keadaan mabuk,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











