Rakyat disuruh jimat, RM2 juta untuk program parti?

Susulan program Liga Perak Sejahtera libatkan Pemuda Umno Perak

- Advertisement -

IPOH: Ustaz Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) meminta penjelasan berhubung jumlah kewangan kerajaan negeri yang digunakan bagi program Liga Perak Sejahtera Inter Parlimen, Piala Menteri Besar Perak (PAFA).

Beliau berkata, terdapat laporan media yang menyebut jumlah peruntukan mencecah RM2 juta, namun tidak dapat dipastikan sama ada keseluruhan jumlah itu digunakan khusus untuk program berkenaan.

- Advertisement -

“Saya ingin mengesahkan, saya nak bertanya berapakah jumlah kewangan Kerajaan Negeri yang digunakan untuk program ini? Adakah RM2 juta itu adalah untuk Liga Perak Sejahtera sahaja atau pun sebagainya?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini semalam.

Menurutnya, jika peruntukan itu melibatkan dana kerajaan negeri, ia boleh menimbulkan persepsi sebagai pengkhianatan terhadap amanah rakyat, lebih-lebih lagi ketika rakyat diseru berjimat cermat.

“Rakyat disuruh berjimat cermat, buka aircond suhu 25, contoh, 24 ke 25? Disuruh berbasikal, disuruh ‘car pooling’, tiba-tiba ada yang ambil kesempatan guna duit rakyat untuk program parti,” tempelak beliau.

Beliau turut mempersoalkan penganjuran program berkenaan yang dilihat melibatkan Pemuda Umno Perak, termasuk penyertaan pasukan serta paparan logo parti itu dalam kejohanan terbabit.

“Persoalannya, kenapa Pemuda Umno? Kenapa tidak melalui Persatuan Bola Sepak Daerah yang rasmi di bawah PAFA? Yang berautoriti. Sepatutnya situlah gunanya” soal beliau lagi.

Muhammad Hakimi turut menegaskan kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam mengurus sumber kewangan kerana ia adalah amanah rakyat.

Beliau menegaskan, walaupun program pembangunan bola sepak wajar disokong, penganjuran yang dilihat melibatkan kepentingan parti politik menimbulkan persoalan mengenai tata kelola dan profesionalisme.

“Apatah lagi jika menggunakan dana Kerajaan Negeri hasil kutipan cukai-cukai rakyat. Apa yang dilihat oleh kami rakyat, ia adalah tata kelola yang tidak amanah dan juga tidak profesional,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) yang mencelah menyifatkan isu dibangkitkan berkait dengan tatakelola, integriti serta penggunaan dana rakyat.

Beliau merujuk maklumat kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang serta penyertaan 720 pemain berusia antara 18 hingga 40 tahun dalam kejohanan yang dianjurkan bersama Pemuda Umno Perak.

“Kalau duit yang digunakan itu duit peribadi Menteri Besar atau pun dinyatakan ini duit peribadi beliau jika itu, (maka) tidak berbangkit di sini.

“Tapi kalau duit itu duit daripada kantung negeri, duit Kerajaan Negeri diumumkan dengan secara terbuka kemudian digunakan kepada satu pihak sahaja.

“Adakah perkara itu dibenarkan dalam perkara ini?” soal beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana perkara itu dipaparkan secara terbuka di media serta sama ada ia dibenarkan melibatkan kewangan kerajaan negeri.

“Kita mahu penjelasan di sini dengan jelas. Duit itu duit Kerajaan Negeri atau duit peribadi Menteri Besar?

“Kalau duit Kerajaan Negeri kena jelas sini berapa jumlah yang telah digunakan dan bagaimana boleh melibatkan satu entiti parti politik secara terbuka melibatkan kewangan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Hakimi menyatakan persetujuan terhadap perkara dibangkitkan serta mengulangi permintaan agar penjelasan tuntas diberikan oleh pihak kerajaan negeri.

“Saya minta penjelasan tuntas daripada Yang Berhormat Exco Belia atau pun Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -