
KUALA LUMPUR: Kes-kes penderaan domestik di negara ini semakin membimbangkan dan tidak lagi boleh dianggap sebagai insiden terpencil, sebaliknya dilihat sebagai simptom kepada kegagalan sistemik yang berlapis-lapis.
Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, situasi ini berpunca daripada pelbagai faktor saling berkait, termasuk tekanan ekonomi keluarga, normalisasi keganasan sebagai kaedah mendidik anak, serta kelemahan intervensi awal masyarakat dan sistem sokongan sosial.
“Keadaan ini turut diburukkan oleh sikap masyarakat yang masih menganggap keganasan rumah tangga sebagai isu peribadi, sekali gus menyebabkan ramai mangsa terus terperangkap dalam kitaran penderaan sehingga membawa kepada tragedi.
“Sikap ini menyebabkan mangsa tidak mendapat perlindungan awal kerana penderaan dianggap isu dalaman keluarga,” katanya kepada Harakahdaily.
Mengulas situasi semasa, beliau berkata negara sekali lagi dikejutkan dengan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, yang dikenali sebagai Thanavitha, dipercayai menjadi mangsa dera dalam kejadian di Taman Sungai Mas, Perak.
“Mangsa disyaki didera oleh ahli keluarganya sendiri termasuk ibu, bapa tiri, datuk dan nenek. Sebelum ini turut dilaporkan kes seorang suami yang memukul isterinya yang sedang hamil, sekali gus menambah kebimbangan terhadap peningkatan kes keganasan rumah tangga,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Bibi Sunita berkata data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan isu ini berada pada tahap serius apabila sebanyak 1,575 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara pada suku keempat 2025.
Di peringkat negeri, beliau berkata Sarawak merekodkan 685 kes dalam tempoh enam bulan pertama 2025, manakala Pulau Pinang mencatat 697 kes dari Januari hingga Ogos tahun yang sama.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa data tersebut hanya melibatkan kes penderaan kanak-kanak, sedangkan kes penderaan terhadap isteri atau ibu dalam keluarga dijangka lebih meluas tetapi masih kurang dilaporkan.
Menurut Bibi Sunita lagi, peningkatan kes ini didorong oleh beberapa faktor utama yang saling memperkuat antara satu sama lain, termasuk budaya ‘jangan masuk campur’ dalam kalangan masyarakat yang menyebabkan mangsa tidak mendapat perlindungan segera.
“Selain itu, tekanan ekonomi seperti kos sara hidup yang tinggi, beban hutang dan masalah kewangan turut menjadi pencetus keganasan dalam rumah tangga,” katanya menambah penyalahgunaan dadah turut dikenal pasti sebagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes
Kerana dadah menurutnya, mengurangkan kawalan diri serta meningkatkan kecenderungan terhadap tindakan agresif, selain kelemahan sokongan sosial terhadap keluarga muda atau pasangan yang terasing daripada jaringan komuniti.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan terdapat kes pelaku penderaan kanak-kanak memberi alasan tindakan mereka sebagai usaha ‘mendidik’ atau ‘menghukum’ anak yang dianggap nakal, sekali gus menunjukkan wujudnya normalisasi keganasan sebagai kaedah disiplin.
Justeru itu katanya lagi, dalam kes keganasan terhadap pasangan, pelaku didapati sering menyalahgunakan kuasa sebagai suami atau ketua keluarga untuk mengawal serta menghalalkan tindakan keganasan.
Sehubungan itu, Bibi Sunita menegaskan keperluan langkah menyeluruh bagi membendung isu berkenaan, termasuk pengukuhan sistem perundangan dan penguatkuasaan.
Beliau berkata antara peruntukan undang-undang terlibat ialah Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman terhadap ibu bapa atau penjaga cuai di bawah Seksyen 31(1)(a) dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 turut menyediakan mekanisme perlindungan kepada mangsa, namun kini sedang diteliti semula bagi tujuan penambahbaikan keberkesanannya,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu mempunyai peranan sebagai pelindung dalam masyarakat dengan memperkukuhkan tanggungjawab untuk melaporkan kes penderaan.
“Masyarakat tidak boleh lagi berdiam diri apabila terdapat syak wasangka keganasan,” katanya menyarankan selain tindakan undang-undang, penggunaan talian bantuan kecemasan 24 jam bagi melaporkan kes dengan segera.
Di samping itu, Bibi Sunita juga mengesyorkan penubuhan kumpulan sokongan kejiranan melalui agensi seperti Jabatan Perpaduan Negara dan JKM sebagai sistem amaran awal bagi keluarga berisiko.
Beliau turut mencadangkan peluasan program sokongan psikososial dan kaunseling secara proaktif kepada individu atau keluarga yang menunjukkan tanda tekanan melampau, masalah kemarahan atau penyalahgunaan dadah.
“Dalam masa yang sama, mangsa yang berjaya diselamatkan perlu diberikan sokongan jangka panjang termasuk tempat perlindungan, bantuan guaman, latihan kemahiran serta terapi pemulihan trauma,” ujarnya
Menurut beliau, penderaan domestik merupakan isu kompleks yang berpunca daripada gabungan faktor ekonomi, budaya dan kelemahan sistem.
“Tiada satu pihak pun mampu menyelesaikannya secara bersendirian. Ia memerlukan iltizam politik yang kukuh, penguatkuasaan undang-undang yang tegas, program pencegahan holistik serta perubahan sikap masyarakat untuk tidak lagi berdiam diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2026











