‘PKR dah tak minat perjuang kebebasan suara?’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menempelak tindakan kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR, dilihat tidak berminat untuk berubah meskipun memperjuangkan reformasi dan kebebasan bersuara.

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata, mangsa yang sering ditahan, disiasat dan direman bukan hanya membabitkan isu berkaitan 3R (bangsa, agama, raja).

- Advertisement -

“Tetapi, (mangsa yang ditahan turut melibatkan individu) kelihatannya hanya kerana bersuara mengkritik Perdana Menteri atau kerajaan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan penahanan terhadap pemilik akaun TikTok, Seketul Jorjet Myla selama tiga hari berikutan videonya yang berdurasi 3 minit 14 saat, meminta Perdana Menteri pada hari ini lebih baik menjadi Ketua Pembangkang.

Pemilik akaun TikTok itu berkata demikian kerana Perdana Menteri mengatakan pembangkang pada hari ini sebagai ‘bodoh’, ‘bebal’, ‘tidak pandai’ dan sebagainya

Mardhiyyah juga mempersoalkan sama ada di bawah Kerajaan Madani, tindakan mengkritik Perdana Menteri atau kerajaan sudah dianggap sebagai satu jenayah.

“Ameerah Malaysia mengutuk pencabulan kebebasan bersuara oleh Kerajaan Madani. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas memberikan hak kebebasan bersuara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa, sekatan terhadap kebebasan bersuara oleh Kerajaan Madani bukanlah perkara baharu.

Menurutnya, laporan media The Edge bertarikh 24 Disember 2024 mendedahkan Malaysia merekodkan jumlah permohonan tertinggi untuk memadam atau mengehadkan kandungan di TikTok, iaitu sebanyak 2,606 permintaan. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -