Pelajar-pelajar di sempadan Thailand warga Malaysia

Pendekatan lebih tersusun diteliti, elak pembelajaran terjejas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang meneliti pendekatan lebih tersusun bagi memastikan pelajar-pelajar dari kawasan sempadan yang tinggal di Thailand tetapi berstatus warganegara Malaysia dapat meneruskan pembelajaran tanpa gangguan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu memerlukan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan Islam Kelantan serta pihak berkuasa berkaitan.

- Advertisement -

Katanya, langkah seperti penyediaan penempatan khas termasuk asrama antara perkara yang sedang dipertimbangkan bagi mengatasi masalah pergerakan pelajar berulang-alik ke sekolah di Rantau Panjang.

“Pelajar-pelajar ini merupakan warganegara Malaysia walaupun menetap di Thailand dan mereka berhak untuk mendapat pendidikan di negara ini,” katanya ketika sidang media selepas majlis Perasmian Outlet Ahmad’s Fried Chiken, di sini.

Menurut beliau, pihaknya sedang mencari kaedah terbaik supaya mereka dapat belajar dengan baik tanpa berdepan kekangan lain termasuk isu perundangan.

“Setiap penyelesaian perlu dirangka dengan cermat memandangkan ia melibatkan aspek undang-undang yang tidak boleh diketepikan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memastikan anak-anak terus bersekolah serta mematuhi sebarang ketetapan yang bakal dilaksanakan.

“Kita tidak mahu pembelajaran mereka terhenti. Apa jua kaedah yang ditetapkan nanti, ibu bapa perlu patuh demi masa depan anak-anak,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 34 pelajar berusia antara tujuh hingga 16 tahun dilaporkan telah ditahan selepas dipercayai menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram untuk ke sekolah di Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -