
KUALA LUMPUR: Mengkritik kerajaan bukanlah satu jenayah, sebaliknya ia adalah hak asas dalam sesebuah negara demokrasi.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian, sambil menegaskan, tindakan menahan individu hanya kerana pandangan politik yang berbeza menunjukkan satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat moden.
Beliau berkata demikian susulan penahanan terhadap pemilik akaun TikTok, Seketul Jorjet Myla wajar dikecam keras kerana ia mencerminkan pendekatan yang menekan kebebasan bersuara rakyat.
“Lebih mengecewakan apabila tindakan sedemikian sering dikaitkan dengan penggunaan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 yang telah lama dikritik sebagai terlalu luas serta mudah disalahgunakan.
“Ironinya, Pakatan Harapan sendiri pernah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk memansuhkan atau mengkaji Akta Hasutan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kebebasan bersuara.
“Namun sehingga hari ini, akta tersebut masih digunakan terhadap rakyat,” tempelak beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai konsistensi dan keikhlasan dalam melaksanakan janji reformasi.
“Apabila undang-undang yang pernah dilabel sebagai ‘lapuk’ dan ‘menindas’ terus digunakan, ia bukan sahaja mencetuskan rasa tidak adil, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” tegas beliau.
Tambahnya, jika situasi berkenaan berterusan, ia akan mewujudkan budaya takut dalam masyarakat apabila rakyat mula berfikir dua kali sebelum bersuara.
“Ini sangat berbahaya kerana ia melemahkan semak dan imbang yang menjadi asas kepada demokrasi.
“Kerajaan sepatutnya menjawab kritikan dengan hujah dan keterbukaan, bukan dengan penahanan dan tekanan undang-undang,” ulasnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada perkembangan itu menjadi petanda sebuah kerajaan yang semakin hilang arah.
“Jangan terkejut nanti, jika keadaan berbalik yang dahulu menggunakan undang-undang untuk menekan, akhirnya beramai-ramai pula terpaksa diiring ke pintu mahkamah selepas pilihan raya.
“Begitulah lumrah kuasa, bila ia disalah guna, ia jarang kekal lama di tangan yang sama,” katanya.
Terdahulu, tular kenyataan yang pemilik akaun TikTok itu ditahan reman selama tiga hari berikutan videonya yang berdurasi 3 minit 14 saat, meminta Perdana Menteri pada hari ini lebih baik menjadi Ketua Pembangkang.
Beliau berkata demikian susulan Perdana Menteri mengatakan pembangkang pada hari ini sebagai ‘bodoh’, ‘bebal’, ‘tidak pandai’ dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 14/4/2026











