Iran kutuk penghinaan Trump terhadap Paus Leo

Masoud Pezeshkian
- Advertisement -

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengecam rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump kerana mengkritik dan menghina Paus Leo XIV.

“Saya mengutuk penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama Paus Leo XIV bagi pihak negara Iran yang agung; dan mengisytiharkan bahawa penodaan terhadap (Nabi) Isa, nabi keamanan dan persaudaraan, tidak boleh diterima oleh mana-mana individu bebas.

- Advertisement -

“Saya mendoakan kemuliaan Baginda (Nabi Isa) di sisi Allah,” tulis Pezeshkian dalam catatan di akaun Xnya pada Isnin.

Komennya dibuat selepas Trump mengecam Paus Leo sebagai ‘lemah’ dan menyiarkan gambar dirinya sebagai Nabi Isa yang sedang menyembuhkan orang sakit.

Penghinaan Trump dibuat selepas Leo mencadangkan pada hujung minggu bahawa ‘khayalan kemahakuasaan’ sedang mendorong perang AS-Israel ke atas Iran.

“Paus Leo LEMAH dalam Jenayah, dan teruk untuk Dasar Luar Negara.

“Saya tidak mahu seorang Paus yang menganggap tidak mengapa Iran mempunyai Senjata Nuklear,” tulisnya dalam catatan tersebut.

Sehubungan ahli-ahli politik Itali telah menunjukkan solidariti mereka terhadap Paus Leo. Perdana Menteri, Giorgia Meloni menghantar mesej sokongan untuk misi keamanannya manakala ketua parti pembangkang utama, Elly Schlein, lebih berterus terang, melabelkan serangan Trump terhadap Paus Leo itu sebagai ‘sangat serius’.

Terdahulu, pada Isnin, Trump dilaporkan telah memadamkan satu imej di media sosial yang kelihatan menggambarkan dirinya sebagai Nabi Isa.

Gambar janaan kecerdasan buatan (AI) yang dimuat naik di platform Truth Social miliknya pada lewat malam Ahad itu menunjukkan beliau memakai jubah merah dan putih yang berkibar, menyentuh dahi seorang lelaki yang kelihatan sakit, dengan cahaya bersinar dari tangan dan kepalanya.
Sebuah bendera Amerika berkibar di latar belakang, sementara beberapa individu lain kelihatan memandang ke arah Presiden dengan penuh rasa hormat. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -