
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan menerusi pihak berkuasa berkaitan disaran mengkaji semula prosedur cara tahanan reman agar ianya menurut lunas-lunas hukum syarak yang sebenar dan selari prinsip keadilan.
Pegawai Khas (Hal Ehwal Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek berkata, undang-undang Islam bersifat adil, namun pelaksanaan yang tidak menyeluruh menyebabkan timbul persepsi kurang tepat terhadap individu terlibat.
Menurutnya, tindakan menggari, menahan reman dan memakaikan pakaian pesalah kepada individu yang belum dibuktikan bersalah boleh memberi imej negatif seolah-olah mereka telah melakukan jenayah dengan sengaja.
“Cara guru itu ditahan reman, digari, dipakaikan baju ‘pesalah’ menurut undang-undang sivil, bagi saya, ia memberi imej negatif, seakan-akan guru itu sudah bersalah, sengaja melanggar dan mahu melakukan jenayah.
“Saya cadangkan prosedur seperti ini dikaji semula menurut lunas-lunas hukum syarak yang sebenar dan adil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau yang juga Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu, manusia melakukan kesilapan sama ada kesilapan kecil mahupun besar dan melibatkan nama, maruah, zuriat dan nyawa selain sengaja dan tidak sengaja.
“Guru adalah pendidik. Jasanya sangat besar. Pengorbanannya tidak terkira. Niatnya hanya mahu melihat pelajarnya berjaya. Tiada niat untuk berbuat jahat,” ujarnya.
Justeru beliau menegaskan, dalam hukum syarak, kes melibatkan kematian dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu pembunuhan sengaja (al-Qatl al-‘Amd), pembunuhan menyerupai sengaja (al-Qatl shibhu al-‘Amd) dan pembunuhan tidak sengaja (al-Qatl al-Khata’).
“Pembunuhan sengaja melibatkan niat serta penggunaan alat yang boleh membawa maut dan hukumannya boleh dikenakan qisas, kecuali jika mendapat kemaafan waris dengan bayaran diyat.
“Bagi pembunuhan menyerupai sengaja pula, pelaku tidak berniat membunuh tetapi tindakannya menyebabkan kematian. Dalam keadaan ini, qisas tidak dikenakan, sebaliknya pelaku perlu membayar diyat mughallazah serta dikenakan kaffarah,” jelasnya.
Katanya lagi, bagi kes pembunuhan tidak sengaja, kematian berlaku tanpa niat mencederakan, sama ada tersalah pada perbuatan atau sangkaan, dan hukumannya ialah membayar diyat mukhaffafah serta kaffarah.
“Keadaan di mana kematian berlaku tanpa sebarang niat untuk mencederakan mangsa.
Pertama tersalah pada perbuatan iaitu seseorang memanah binatang buruan tetapi terkena manusia.
“Kedua tersalah pada sangkaan iaitu seseorang menyangka objek yang ditembak adalah musuh atau haiwan, tetapi rupa-rupanya adalah orang awam yang terpelihara darahnya. Kesan hukumnya ialah wajib membayar diyat mukhaffafah (pampasan ringan) dan dikenakan kaffarah,” jelasnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan guru yang dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah yang mengakibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut direman dua hari.
Perintah reman terhadap guru wanita berusia 57 tahun bermula Isnin dan Selasa dikeluarkan Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah.
Penahanan reman itu dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – HARAKAHDAILY 14/4/2026











