
KUALA LUMPUR: Terdapat pihak yang secara terbuka menolak hak istimewa orang Melayu atas nama kesamarataan.
Namun penganalisis politik, Nazrin Ramlan menegaskan, konsep itu digunakan untuk mengambil hak sedia ada.
“Inilah yang berlaku apabila kita berpecah. Apabila kita lemah, orang lain mengambil peluang.
“Mereka kata mereka mahu keadilan, tetapi kita telah pun memberi keadilan dalam ekonomi, pendidikan dan pelbagai ruang,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Beliau berpandangan bahawa orang Melayu kini sedang kehilangan sebahagian kuasa, termasuk dalam aspek ekonomi, pendidikan dan politik.
Menurut beliau, walaupun ada pihak yang beranggapan orang Melayu masih kuat dan berkuasa, hakikatnya keadaan semasa menunjukkan sebaliknya.
“Ada yang kata orang Melayu masih kuat dan masih berkuasa. Tetapi hakikatnya, orang Melayu sedang hilang kuasa. Bukan akan hilang, tetapi sudah pun hilang sebahagian,” terang beliau.
Beliau menjelaskan, dalam sektor ekonomi orang Melayu sudah ketinggalan, manakala dalam pendidikan masih dalam usaha mengejar, dan kini kedudukan politik juga semakin goyah.
Katanya, sekiranya berlaku kekalahan dalam pilihan raya akan datang, kuasa yang masih tinggal berkemungkinan hilang sepenuhnya.
“Ramai yang tidak sedar perkara ini. Ada yang kata tidak mengapa jika tidak bersatu, ada yang kata biarlah.
“Tetapi mereka tidak faham apa yang akan berlaku apabila kuasa politik ini hilang,” bimbang beliau.
Nazrin menegaskan politik merupakan ‘senjata terakhir’ bagi orang Melayu untuk mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara.
“Jika senjata ini hilang, ia tidak mudah dikembalikan. Kita akan jadi penonton di tanah sendiri.
“Kita akan bergantung kepada orang lain untuk menentukan nasib kita, malah terpaksa meminta apa yang dahulu kita tentukan sendiri,” ulasnya.
Menurut beliau, orang Melayu memahami nilai, budaya serta kelemahan sendiri dan tahu perkara yang perlu diperbaiki, namun semua usaha memperkasa diri itu memerlukan kuasa.
“Jika bukan kita yang memerintah dan mentadbir, jangan harap orang lain akan menjaga kepentingan kita,” nasihatnya.
Tambah beliau, apabila kuasa politik semakin berkurangan, segala kelebihan yang ada juga berisiko hilang.
“Jika ini juga hilang, maka hilanglah segala-galanya. Generasi akan datang tidak lagi dipimpin oleh bangsanya sendiri,” tegasnya.
Nazrin berkata, terdapat juga pihak yang cuba meyakinkan bahawa orang Melayu tidak perlu memerintah dengan menggunakan kegagalan segelintir individu sebagai contoh.
“Tetapi ini hanya muslihat. Orang Melayu bukan satu dua orang. Tidak adil menilai seluruh bangsa berdasarkan beberapa individu,” katanya.
Beliau menegaskan, perpecahan menjadi punca utama kelemahan yang membawa kepada kehilangan kuasa, dan kuasa yang hilang tidak mudah untuk dikembalikan.
“Apabila kita berpecah, kita lemah. Apabila kita lemah, kita hilang kuasa. Dan apabila kuasa hilang, ia tidak mudah kembali,” peringatnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa asas perjuangan perlu kembali kepada matlamat asal, iaitu agama, bangsa dan negara, bukan kepentingan peribadi atau jawatan.
“Sebab itu ‘Payung Besar’ ditubuh supaya semua orang Melayu berada dalam satu organisasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2026











