‘Dari kebangsaan, jadi parti untuk dapat kekayaan’

Perubahan perjuangan Umno punca Melayu berpecah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menyifatkan perubahan perjuangan Umno sebagai antara faktor yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno dan bekas Presiden BERSATU berkata, masih ramai kekal dalam Umno tanpa mengambil kira perubahan arah perjuangan parti itu.

“Ramai yang terus berada dalam Umno tidak ambil kira perubahan perjuangan Umno. Dari parti kebangsaan, Umno sudah jadi parti untuk mendapat kekayaan,” katanya dalam media sosial miliknya.

- Advertisement -

 
Menurut beliau, terdapat juga individu yang keluar daripada Umno, namun tidak menyertai BERSATU menyebabkan Melayu berpecah kerana mereka tidak menyertai perubahan tersebut.
 
“Jika BERSATU tidak ditubuh perpecahan akan berlaku juga kerana terdapat beberapa parti lain ditubuh. Dengan menyertai parti-parti lain ini orang Melayu terus berpecah,” tegas beliau.
 
Mengimbas sejarah, beliau berkata kemenangan orang Melayu menentang penjajah British bukan kerana nama Umno, sebaliknya disebabkan perpaduan.
 
“Jika pada masa itu banyak parti ditubuh maka orang Melayu akan berpecah. Mereka tidak mungkin kalahkan British,” ulas beliau yang pernah dua kali menjadi Perdana Menteri.
 
Tun Dr Mahathir juga menegaskan bahawa kekuatan orang Melayu pada masa kini juga bergantung kepada perpaduan, bukan parti semata-mata.
 
“Sebab itu ‘Payung Besar’ ditubuh supaya semua orang Melayu berada dalam satu organisasi. Dan mereka mungkin menang PRU (Pilihan Raya Umum),” jelas beliau.
 
Mengulas dakwaan bahawa beliau menjadi punca perpecahan Melayu, beliau mengakui keluar daripada Umno kerana parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan asal.
 
“Ada orang dakwa bahawa yang memecah-belah orang Melayu ialah saya. Memang benar saya keluar dari Umno kerana Umno sudah menyeleweng, berjuang untuk wang dan bukan untuk bangsa, negara dan agama.
 
“Saya keluar dari Umno untuk tubuh parti Melayu supaya mereka yang kecewa dengan Umno di bawah Najib kepada parti BERSATU yang ditubuh. Ini akan kekal orang Melayu dalam satu parti yang mengganti Umno.
 
“Ramai yang tuduh saya memecah-belah orang Melayu. Apabila Umno tukar haluan dan berjuang untuk memperkayai diri saya tidak lagi dapat bersama Umno. Saya keluar untuk tubuh parti ganti Umno.
 
“Tetapi ramai ahli Umno pilih untuk terus dengan Umno. Jadi BERSATU tidak dapat ganti Umno sebagai parti Melayu yang perjuangkan bangsa, negara dan agama. Dalam PRU14 BERSATU cuma menang 13 kerusi,” katanya.
 
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan perpecahan terus berlaku dalam kalangan orang Melayu.
 
“Maka berlakulah perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana sokongan kepada Umno diteruskan. Ya. Ini bermakna perpecahan dalam kalangan orang Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2026

- Advertisement -