
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam agar menanam rasa sedih terhadap bala bencana serta kesusahan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.
Beliau berkata, perasaan itu perlu dizahirkan terhadap mereka yang berdepan pelbagai ujian termasuk gempa bumi, peperangan, kemiskinan, kebuluran dan wabak penyakit.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, keprihatinan juga wajar diberikan kepada umat Islam yang dijajah, dizalimi, dibunuh serta ditindas seperti yang berlaku di Palestin, Iraq, Syria, China dan Myanmar.
“Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa dan munajat kepada Allah.
“(Ia) supaya Allah memberikan pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia yang dihadapi itu,” ujarnya.
Beliau yang juga mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkata demikian dalam Khutbah Aidilfitri 1447 Hijrah di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuan Guru turut mengajak umat Islam menginsafi besarnya nikmat iman dan Islam yang dikurniakan Allah SWT, serta mengingatkan bahawa hanya kematian dalam keadaan beriman dan Islam diredai-Nya.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 102 yang menyeru orang beriman agar bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan tidak mati melainkan dalam keadaan Islam.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kepentingan memelihara persaudaraan sesama Islam sebagai tanda keimanan, dengan menyatakan bahawa seseorang itu tidak sempurna imannya sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
Tuan Guru turut mengingatkan umat Islam agar memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kasih dan penghargaan atas pengorbanan Baginda dalam menyampaikan Islam.
Katanya, amalan itu selaras dengan perintah Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 56 yang menyebut bahawa Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi serta menyeru orang beriman untuk turut berselawat dan memberi salam kepada Baginda. – HARAKAHDAILY 21/3/2026











