‘Makkah dan Madinah juga dalam keadaan bahaya’

Susulan Yahudi Zionis yang berjuang mendirikan negara Israel Agung

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa Makkah, Madinah kini turut berada dalam keadaan yang bahaya.
 
Tuan Guru berkata demikian susulan tindakan orang-orang Yahudi Zionis yang ingin mendirikan negara besar Yahudi, iaitu Israel Agung.
 
“Sedarkah kamu semua bahawa tanah suci Palestin dan al-Masjid al-Aqsa sudah ditakluki oleh orang-orang Yahudi Zionis.
 
“(Mereka) yang berjuang mendirikan negara besar Yahudi (Israel Agung), bersempadan dari Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat di Iraq serta dari Laut Merah sehingga Laut Tengah (Mediterranean)?
 
“Bermakna Makkah dan Madinah juga dalam keadaan bahaya,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang dalam Khutbah Aidilfitri 1447 Hijrah di Masjid Rusila, di sini hari ini.
 
Kumpulan Islam
 
Menurut Tuan Guru, Rasulullah SAW menjanjikan kewujudan kumpulan umat Islam yang gagah berani berjihad menentang Yahudi dan bala tentera Ahzab daripada pelbagai agama.
 
Tuan Guru memetik sabda Rasulullah SAW yang menyatakan umat Islam dari Bait al-Maqdis dan sekitarnya akan terus berjuang menegakkan Islam dengan gagah, tidak dikalahkan kecuali menghadapi kesusahan, sehingga Allah menolong mereka.
 
Tuan Guru menegaskan, Allah membuktikan benarnya janji tersebut apabila wujudnya kumpulan Islam yang berjihad mempertahankan Islam, umat, dan tanah airnya di Palestin.
 
Mereka kata Tuan Guru dikepung dan dibunuh dengan zalim oleh bala tentera Ahzab, sehingga kanak-kanak, orang tua, dan kaum perempuan turut menjadi mangsa.
 
Ujian
 
Beliau menambah, umat Islam sedang diuji sehingga berpecah belah, ada yang murtad bersama musuh, ada yang munafik iaitu pura-pura Islam, dan ada yang lemah iman sehingga melarikan diri.
 
“Sekarang, Allah menguji umat Islam dengan seruan berjihad menentang musuh paling besar dan paling zalim terhadap Islam,” kata Tuan Guru yang juga merupakan mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
 
Tuan Guru merujuk surah al-Ma’idah ayat 82 yang menyebut bahawa orang Yahudi dan kaum Musyrikin paling bermusuh terhadap orang beriman.
 
Menurut beliau, mereka merampas tanah suci Palestin bersama Bait al-Maqdis dan berlaku zalim terhadap rakyatnya, termasuk membunuh kanak-kanak, warga tua, dan kaum Muslimat, di samping merompak rumah, tempat perniagaan dan kebun.
 
Oleh itu jelas beliau, Allah mewajibkan umat Islam berjihad dengan harta dan nyawa mempertahankan Islam, umat, dan tanah airnya kerana harga Islam lebih mahal daripada nyawa dan harta.
 
Beliau juga memetik firman Allah Taala dalam surah al-Nisa ayat 75 dan 76 yang menyeru orang beriman berjuang menegakkan Islam dan menentang kezaliman.
 
Persediaan kekuatan
 
Tuan Guru turut menekankan bahawa Allah mewajibkan umat Islam membuat persediaan kekuatan mengikut kemampuan melawan musuh sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60.
 
“Hanya sedikit sahaja daripada negara Islam, khususnya negara Arab kaya-raya yang berjiran sanggup berperang dan menyediakan kekuatan menentang Ahzab (tentera bersekutu Yahudi dan semua yang bersama dengannya).
 
“Hanya sedikit sahaja yang membuat persediaan-persediaan melawan musuh itu. Umat Islam diuji oleh Allah sama seperti yang dijanjikan dalam al-Quran,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2026

- Advertisement -

- Advertisement -