
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menempelak tindakan negara Islam yang membuka ruang dalam aspek keselamatan dan pertahanan sehingga membolehkan kemasukan bala tentera musuh bersama kaum Yahudi untuk membina pangkalan di bumi umat Islam.
Beliau berkata, negara Islam tersebut turut bersama-sama menyerang Palestin serta negara Islam seperti Iran dan lain-lain yang membantu Palestin.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Allah SWT sangat murka terhadap golongan yang mengaku Islam tetapi meminta perlindungan daripada musuh Islam sehingga dihukum sebagai munafik.
“Beritahulah kepada orang-orang munafik bahawa disediakan untuk mereka semua azab yang pedih (Neraka Jahanam).
“Mereka itulah yang berwali kepada orang-orang kafir (yang bermusuh terhadap umat Islam) dengan meninggalkan orang-orang beriman. Adakah mereka memahukan kemuliaan (bersama musuh Islam)?
“Tidakkah kemuliaan dan kemenangan itu semuanya kepunyaan Allah?” katanya memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 138 hingga 139.
Beliau yang juga mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkata demikian dalam Khutbah Aidilfitri 1447 Hijrah di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa dapat disaksikan banyak negara Islam yang kaya dengan hasil bumi, namun rakyat dan kerajaan mereka berdiam diri tanpa membantu rakyat Palestin.
Katanya, kekayaan itu tidak digunakan untuk bersedia melawan Yahudi dan musuh lain, sebaliknya dibelanjakan untuk menunjukkan kemewahan, membina bangunan tinggi serta melabur di negara musuh.
Dalam pada itu, beliau menegaskan umat Islam kini berpecah-belah seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW sehingga ada yang murtad dan ada yang bersifat munafik.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekali-kali kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali (pemimpin dan kawan yang dipercayai)…,” katanya merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 51.
Menurut Tuan Guru, berwali membawa maksud menjadikan mereka sebagai pemimpin, rakan akrab, meminta pertolongan serta membantu mereka memerangi Islam dan umatnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Allah SWT memuji golongan yang bersama Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dalam mempertahankan Islam.
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu menjadi ikutan yang baik kepada sesiapa yang berharap kepada Allah dan Hari Akhirat…,” katanya memetik firman Allah SWT.
Firman Allah SWT itu menurut Tuan Guru adalah dalam Surah al-Ahzab ayat 21 hingga 23 yang menegaskan keteguhan iman golongan beriman dalam menghadapi ujian.
Tuan Guru berkata, golongan beriman tetap berpegang teguh kepada janji Allah serta tidak mengubah pendirian mereka walaupun berdepan ujian yang berat. – HARAKAHDAILY 21/3/2026











