
KUALA LUMPUR: Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Mohamad Kamal Mohamed, menegaskan bahawa pelaksanaan dasar pendidikan baharu yang menetapkan umur murid Tahun 1 pada 7 tahun perlu dikaji semula.
Beliau berkata, di Malaysia, murid sebenarnya memasuki Tahun 1 pada usia lebih kurang 6 tahun, walaupun sistem rasmi menyatakan ‘Tahun 1 bermula pada umur 7 tahun’.
“Perbezaan ini sering menimbulkan salah faham apabila dibandingkan dengan negara lain yang menetapkan umur 6 tahun sebagai umur masuk sekolah, sehingga seolah-olah Malaysia ‘lewat setahun’.
“Realitinya, umur sebenar murid Malaysia hampir sama dengan negara lain. Namun, pada tahun 2027, perbezaan umur dalam satu kelas boleh mencecah hampir dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, murid yang lahir pada hujung tahun (berusia 5 tahun lebih) akan bersaing dengan murid hampir berumur 7 tahun, dan ini boleh memberi kesan kepada pembelajaran mereka yang kurang matang dari segi umur.
Sehubungan itu, Mohamad Kamal meminta pihak kementerian meneliti semula pelaksanaan dasar ini dengan lebih berhati-hati.
Beliau menegaskan, rakyat Malaysia sedang mempertaruhkan masa depan generasi anak-anak.
“Sistem pendidikan negara seharusnya meletakkan aspek kualiti pendidikan dan kesediaan murid sebagai keutamaan,” ujarnya.
Justeru beliau turut merujuk kenyataan Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Gs. Dr Muhammad Azwan Sulaiman, yang menekankan bahawa perubahan struktur pendidikan memerlukan penilaian sekurang-kurangnya satu kitaran kohort.
“Kerajaan sepatutnya membuat penilaian berasaskan data dan bukti terlebih dahulu sebelum melaksanakan dasar secara menyeluruh, serta menggunakan pendekatan ‘soft landing’ secara berperingkat.
“Sekiranya tidak, pelaksanaan tergesa-gesa boleh meletakkan masa depan satu generasi dalam risiko kegagalan sistemik yang nyata,” katanya..
Terdahulu, pada 20 Januari 2026, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan satu transformasi besar dalam struktur pendidikan negara melalui Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.
Menurutnya, sebahagian daripada perubahan ini ialah menurunkan umur masuk prasekolah kepada 5 tahun dan umur masuk Tahun 1 kepada 6 tahun, bermula sesi sekolah 2027.
Beliau berkata, anak-anak yang mencapai usia 6 tahun boleh didaftarkan ke Tahun 1, tetapi tidak wajib – ibu bapa masih boleh memilih untuk mendaftarkan anak pada umur 7 tahun jika mereka merasa anak belum bersedia.
Sementara menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), setakat semalam, sebanyak 398,671 permohonan pendaftaran diterima bagi kemasukan Tahun Satu pada 2027, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Daripada jumlah itu, sebanyak 338,714 murid berumur tujuh tahun, manakala 59,957 murid melibatkan kemasukan pada umur enam tahun. – HARAKAHDAILY 13/3/2026











