PAS sedia terima ahli Umno yang tolak kerjasama dengan DAP

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan PAS untuk menerima mana-mana ahli Umno yang tidak bersetuju dengan kerjasama parti Melayu berkenaan bersama DAP.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perkara itu selari dengan pendirian PAS di mana sentiasa terbuka kepada pihak-pihak yang ingin bersama perjuangan parti Islam tersebut.

- Advertisement -

“Memang kita bersedia menerima mana-mana ahli Umno yang tidak bersetuju dengan kerjasama (Umno) dengan DAP, untuk kembali bersama kita (PAS),” katanya di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Pelawaan itu susulan tulisan beliau dalam Minda Presiden terkini yang menegaskan bahawa inisiatif Rumah Bangsa oleh Umno sebenarnya masih tetap berkawan dan berwala’ kepada DAP.

Bagaimanapun sehingga kini para pemimpin Umno yang memberi reaksi balas tidak menjawab berkenaan kerjasama DAP itu, sebaliknya berfokus kepada intipati lain dalam tulisan tersebut.

Tuan Guru yang turut diminta mengulas mengenai dakwaan pertemuan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin di Bangkok, Thailand.

Tuan Guru Abdul Hadi bagaimanapun menyatakan, Hamzah memaklumkan kepadanya mengenai perkara berkenaan, selain turut membuat laporan berkaitan pertemuan tersebut.

“H​amzah telah maklumkan perkara itu kepada saya dan beliau juga melaporkannya,” ulasnya kepada pertanyaan media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan, di sini.

Mengulas dakwaan bahawa Hamzah membelakangkan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu digelar sebagai ‘Langkah Bangkok’ itu, Tuan Guru berkata, Hamzah mempunyai hak pada ketika itu sebagai Ketua Pembangkang.

“Beliau ialah Ketua Pembangkang. Sebagai Ketua Pembangkang, beliau mempunyai hak,” katanya terhadap pertemuan didakwa pada tahun lalu itu yang dikatakan bagi membincangkan isu penyatuan parti Melayu dan Islam.

Menurut laporan media, beberapa sumber daripada parti politik memaklumkan, selain Hamzah, Ahmad Zahid juga dikatakan bertemu Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN.

Pertemuan itu dipercayai berlangsung pada awal Disember tahun lalu sewaktu Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, melakukan lawatan kerja ke Bangkok. – HARAKAHDAILY 13/3/2026

- Advertisement -