
KOTA BHARU: Orang ramai dinasihatkan agar memanfaatkan baki Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat, khususnya pada 10 malam terakhir yang penuh keberkatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim mengingatkan umat Islam kini berada pada fasa terakhir Ramadan yang amat dinantikan kerana terdapat malam istimewa yang menjanjikan ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
“Ramadan ini menjadi ruang untuk kita bermuhasabah, merenung kembali segala nikmat dan kurniaan Allah serta menanam azam untuk memperbaiki diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Yayasan PETRONAS: Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2026 yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Menurutnya, walau dalam apa jua keadaan sekalipun, umat Islam perlu berusaha mengejar keberkatan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah dan amal kebajikan.
“Semoga kita semua dianugerahkan kesihatan yang baik hingga ke penghujung Ramadan dan dapat memanfaatkan sepenuhnya malam-malam terakhir yang penuh rahmat ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS yang terus komited membantu masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan.
Katanya, di Kelantan seramai 400 penerima telah dipilih untuk menerima sumbangan menerusi program berkenaan, manakala secara keseluruhan seramai 4,850 penerima di 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan turut menerima manfaat yang sama.
“Saya berharap usaha yang digerakkan oleh PETRONAS ini dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan serta mengukuhkan hubungan erat antara syarikat ini dengan masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, pada tahun ini sumbangan disalurkan kepada penerima di empat jajahan terpilih iaitu Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok.
Menurutnya, setiap keluarga menerima pek perayaan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras, bihun, gula, tepung, garam, kari ayam dalam tin, teh serta minuman coklat malta.
Selain itu katanya, penerima turut menerima barangan bertemakan Aidilfitri seperti kacang tanah, biskut raya, beras pulut, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang.
“Program Memacu Kehidupan: Aidilfitri ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan PETRONAS untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Program tersebut merupakan kerjasama Yayasan PETRONAS dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut dilaksanakan di Terengganu dan Pahang, melibatkan keseluruhan 1,250 keluarga di Pantai Timur. – HARAKAHDAILY 13/3/2026











