
KERAJAAN kelmarin umumkan kenaikan harga minyak RON95, RON97 dan Diesel. RON95 dan RON97 diumumkan naik RM0.60 dan Diesel diumumkan naik RM0.80.
Kalau nak ikut memang rakyat faham kenapa harga minyak naik. Akibat konflik geopolitik, maka harga minyak dunia sudah melebihi USD100 setong. Okeylah kita faham bab tu.
Cuma persoalan timbul kenapa naik sekarang?
PMX umum baru-baru ni stok minyak negara ada dan mencukupi untuk keperluan selama 2 bulan. Jadi sudah tentu stok minyak ini dibeli menggunakan harga lama sebelum konflik. Jadi bila stok lama dijual kepada rakyat, adakah wajar harga minyak dan diesel ini dinaikkan?
Sepatutnya minyak dalam simpanan dijual mengikut harga pembelian lah. Bila kerajaan jual minyak dalam simpanan dengan harga baru, seolah-olah Kerajaan mahu kaut keuntungan berlipat ganda dari rakyat.
Perlu diingat subsidi 300 liter RON95 bukan mencukupi keperluan rakyat. Terutamanya bagi mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja. Maka lepas abis 300 liter, mereka terpaksa bayar ikut harga pasaran yang telah dinaikkan.
Begitu juga diesel. Bila harga diesel naik, kos pengangkutan barangan akan naik. Maka harga barangan akan turut naik. Kesan berantai ini tak dapat dielakkan. Rakyat akan mula merasai kesan langsung ini apabila harga barangan dan bahan mentah mula dinaikkan dan tak terkawal.
Pelik juga tengok pengumuman kerajaan. Subsidi diesel kat Sabah Sarawak diteruskan tapi semenanjung dihapuskan dan harga diesel naik ikut harga pasaran yang diumumkan kerajaan. Kenapa ada double standard macam ni? Rakyat semenanjung ni second classs citizen ker?
Oleh yang demikian, aku rasa wajar subsidi diesel diperkenalkan semula secara menyeluruh buat industri agar kesan berantai kenaikan kos ini tidak berlaku dan akhirnya membebankan pengguna.
Setakat ni Kerajaan Madani belum mengumumkan apa-apa pelan tindakan untuk memastikan rakyat tak terkesan. Hanya beri jaminan subsidi 300 liter akan kekal untuk dua bulan akan datang. Ini memang sangat membimbangkan.
Nak bagi korang faham betapa lembabnya Kerajaan Madani, Amerika dah berbulan-bulan ancam nak serang dan mula serang pada 28 Februari 2026. Kita baru nak tubuh jawatankuasa kaji kesan konflik ni pada 11 Mac 2026. Hmmm……
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/3/2026











