Ijtimak antarabangsa perkukuh perpaduan umat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh kesatuan umat Islam serta memberi kefahaman terhadap pelbagai isu yang sedang melanda dunia ketika ini.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, umat Islam kini berhadapan pelbagai cabaran yang bukan sahaja melibatkan kepentingan umat, malah menyentuh aspek kemanusiaan di peringkat global.

Menurutnya, perkembangan tersebut memerlukan umat Islam untuk lebih memahami situasi semasa serta bersatu dalam mendepani pelbagai ancaman yang wujud di seluruh dunia.

“Kita melihat cabaran yang dihadapi oleh umat Islam, umat dan juga kemanusiaan di seluruh dunia adalah pelbagai dan sangat mencabar.

“Justeru, kita merasakan terdapat keperluan untuk menganjurkan ijtimak seperti ini bagi memberi kefahaman dan penjelasan supaya umat Islam dapat bersatu padu dalam menghadapi cabaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penganjuran program berkenaan yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 April ini di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus.

Program tersebut menghimpunkan pelbagai pihak termasuk tokoh agama, cendekiawan serta masyarakat dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu berkaitan perpaduan umat serta cabaran semasa yang dihadapi dunia Islam.

Terdahulu, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah telah diadakan beberapa kali sejak penganjurannya yang pertama pada tahun 1988 di Kampung Rusila, Marang, Terengganu.

Seterusnya, ijtimak kali kedua telah diadakan pada 30 hingga 31 Ogos 1993 di Rusila, Marang, Terengganu.

Ijtimak kali ketiga pula berlangsung pada 19 hingga 22 Mac 2015 di pekarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu.

Bagi ijtimak kali keempat yang dikenali sebagai Ijtimak Rantau Asia, program ini telah diadakan pada 20 hingga 22 Julai 2017 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. – HARAKAHDAILY 13/3/2026

- Advertisement -