
HULU LANGAT: Dalam suasana penuh keberkatan bulan Ramadan, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Hulu Langat menganjurkan Program Iftar dan Majlis Ramah Mesra bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) di kawasan DUN Semenyih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz, berkata penganjuran program ini adalah langkah penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara pemimpin masyarakat dan NGO, sekali gus memantapkan usaha dakwah, kebajikan, dan pembangunan masyarakat di kawasan DUN Semenyih khususnya, dan Hulu Langat amnya.
“Program yang berlangsung malam tadi bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara pelbagai organisasi masyarakat di kawasan tersebut,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau menjelaskan bahawa program ini menghimpunkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam kerja-kerja dakwah, kebajikan, dan kemanusiaan.
Majlis dimulakan dengan sesi ta’aruf dan perkenalan organisasi, diikuti sesi diskusi bersama wakil-wakil NGO bagi membincangkan peranan dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
Antara yang hadir termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKID) serta Volunteers Care Community (VCM).
Turut serta adalah beberapa NGO tempatan di sekitar Hulu Langat yang selama ini aktif membantu masyarakat.
Nushi berkata perbincangan dalam program ini turut menumpukan kepada peranan masyarakat sivil dalam memperkukuh jaringan kebajikan, memperkasakan dakwah, serta menangani isu masyarakat di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kekuatan masyarakat tidak hanya bergantung kepada institusi politik semata-mata, sebaliknya turut disokong oleh peranan besar NGO dan gerakan masyarakat yang istiqamah berkhidmat kepada rakyat.
“Jaringan NGO yang aktif dan tersusun mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera, khususnya dalam mendepani cabaran sosial dan ekonomi yang semakin mencabar pada hari ini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua NGO yang terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk program bantuan makanan, kebajikan masyarakat, pendidikan, serta aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Kejayaan program ini diharapkan dapat menjadi model kerjasama berterusan antara pihak kerajaan, pemimpin masyarakat, dan NGO dalam membangunkan masyarakat yang lebih sejahtera di Hulu Langat.
“Program berakhir dengan majlis berbuka puasa bersama dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat kebersamaan, sekali gus mempereratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan organisasi yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2026











