
SHAH ALAM: Kenaikan harga diesel bukan sekadar melibatkan perubahan kos bahan api semata-mata, sebaliknya memberi kesan berantai kepada keseluruhan kos sara hidup rakyat.
Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, diesel merupakan bahan api utama bagi sektor pengangkutan barangan, khususnya lori yang membawa bekalan makanan serta barangan keperluan harian ke seluruh negara.
“Peningkatan harga diesel akan menyebabkan kos logistik meningkat sekaligus memberi tekanan kepada peniaga dan akhirnya mendorong kenaikan harga barangan kepada pengguna.
“Apabila harga diesel meningkat, kos pengangkutan barangan turut naik dan kesannya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan di pasaran.
“Kesan ini dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat kerana ia memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta kos operasi peniaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Hasrina berkata, antara kesan yang dijangka berlaku ialah peningkatan kos pengangkutan barangan, kenaikan harga makanan dan barangan asas serta tekanan kepada peniaga kecil yang terpaksa menanggung kos operasi lebih tinggi.
Katanya, keadaan itu turut memberi beban tambahan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang sudah sedia berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, situasi tersebut lebih membimbangkan kerana kenaikan harga diesel berlaku ketika rakyat sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri, yang lazimnya menyaksikan peningkatan perbelanjaan isi rumah bagi menyediakan keperluan keluarga.
Dalam masa sama, beliau berkata Dewan Muslimat PAS Selangor memahami bahawa perubahan harga bahan api boleh dipengaruhi faktor global termasuk ketidaktentuan geopolitik serta kemungkinan krisis akibat konflik atau peperangan yang memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia.
Bagaimanapun katanya, dalam menghadapi kemungkinan krisis tersebut kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih bersifat persediaan nasional dan bukan sekadar menaikkan harga bahan api tanpa langkah mitigasi mencukupi bagi melindungi rakyat.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Selangor mencadangkan beberapa langkah strategik kepada kerajaan, termasuk menggalakkan langkah penjimatan tenaga di peringkat nasional.
Antara cadangan dikemukakan ialah pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) bagi sektor tertentu, seperti yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan Thailand, bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta kos operasi.
Selain itu, kerajaan juga dicadangkan memperkukuhkan strategi kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kemungkinan krisis ekonomi atau gangguan bekalan tenaga akibat konflik antarabangsa.
Beliau turut mencadangkan supaya kawalan harga barangan diperkemaskan bagi mengelakkan kenaikan tidak munasabah susulan peningkatan kos logistik.
“Kerajaan perlu melaksanakan langkah mitigasi lebih menyeluruh bagi memastikan rakyat tidak menjadi pihak paling terkesan setiap kali berlaku perubahan harga bahan api.
“Dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu menunjukkan kepimpinan lebih proaktif dengan menyediakan pelan kesiapsiagaan menyeluruh demi melindungi kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada Jun 2024 yang menyaksikan harga bahan api itu diapungkan mengikut harga pasaran bagi Semenanjung Malaysia.
Langkah itu bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi serta memperkukuh kedudukan fiskal negara, namun turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain industri dan pengguna berhubung kemungkinan peningkatan kos logistik serta harga barangan di pasaran. – HARAKAHDAILY 13/3/2026











