Hidupkan kembali budaya menanam di kawasan rumah

- Advertisement -

RAUB: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru rakyat agar menghidupkan kembali budaya menanam di kawasan rumah masing-masing bagi membina kehidupan yang lebih berdikari dan lestari.

- Advertisement -

Menurut beliau, masyarakat hari ini semakin bergantung kepada pembelian makanan secara segera sehingga banyak perkara asas yang dahulunya diusahakan sendiri kini ditinggalkan.

“Apa yang kita boleh usaha sekeliling rumah kita, kita usaha. Hidupkan balik sistem itu. Hari ini semua makan, beli-beli, order online sampai air pun beli online.

“Kadang-kadang, anak-anak order makan kita pun tak tahu apa jenis makanan yang sampai. Makan apa ni? Korea.

“Jadi kehidupan kita, keperluan kita ni sebenarnya boleh kita bina di atas apa yang ada di sekeliling rumah kita,” katanya ketika berucap merasmikan Program ‘Rumahku Hijau’ Peringkat Negeri Pahang di Dataran Purnama, SRITI Al-Fateh, dekat sini, kelmarin.

Program anjuran Lajnah Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar PAS Pahang (LATAS) itu bertujuan menggalakkan setiap keluarga menanam sayur-sayuran dan tanaman makanan sendiri di rumah sebagai langkah memperkukuh ketahanan makanan serta menghidupkan kembali budaya pertanian keluarga.

Sementara itu, Pengerusi LATAS Pahang, Ahmad Safawi Taharim, yang juga penggerak utama program tersebut berkata inisiatif ‘Rumahku Hijau’ berpotensi menjadi satu gerakan rakyat yang besar di negeri ini.

Melalui slogan “Satu Rumah, Satu Keluarga, Satu Benih, Satu Masa Depan” beliau menjelaskan bahawa program tersebut bukan sekadar kempen menanam sayur, tetapi satu usaha membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar serta gaya hidup sihat bersama keluarga.

“Program ini berpotensi menjadi gerakan besar rakyat kerana kosnya rendah, impaknya tinggi dan dekat dengan kehidupan harian. Dengan kerjasama semua pihak, ia boleh menjadi identiti pertanian negeri,” katanya.

Menurut beliau lagi, program itu turut menggalakkan masyarakat menanam tanaman asas seperti cili, serai, daun kunyit, pudina serta pelbagai sayur-sayuran yang mudah diusahakan di halaman rumah.

Majlis kemuncak adalah penanaman anak pokok cili kampung sebagai gimik pelancaran ‘Rumahku Hijau’ disempurnakan Tuan Ibrahim dan disaksikan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Turut hadir, Setiausaha LATAS PAS Pusat, Mukhtarudin Musa, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Khairuddin Abdullah, Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Zuridan Mohd Daud dan Pengerusi GERAKAN negeri, Randy Yap.

Dalam majlis sama turut diadakan pelancaran Buku Fertigasi Bandar karangan Amilrudin Ishak, perasmian PASTI Usfur serta Iftar Perdana PAS Kawasan Raub yang turut diserikan dengan kehadiran Imam Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Sheikh Ali Umar Yaqoub Abbasi. – HARAKAHDAILY 13/3/2026

- Advertisement -