Arahan tutup operasi hari pertama Aidilfitri, Aidiladha

Libatkan semua pasar raya, kompleks beli-belah, pasar raya besar di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memutuskan semua kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negeri ini ditutup sepenuhnya pada hari pertama Aidilfitri dan hari pertama Aidiladha tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pagi tadi bagi memberi peluang kepada pekerja sektor berkenaan meraikan hari raya bersama keluarga.

- Advertisement -

Menurutnya, premis makanan segera dan kedai serbaneka pula hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1 tengah hari pada hari pertama kedua-dua perayaan tersebut.

“Kerajaan negeri memutuskan kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar ditutup sepenuhnya pada hari pertama Aidilfitri dan hari pertama Aidiladha.

“Bagi premis makanan segera serta kedai serbaneka, ia ditutup sehingga jam 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha sebelum dibenarkan beroperasi seperti biasa selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mesyuarat MMK di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri hanya menetapkan penutupan separuh hari pada hari raya pertama, namun kali ini dipinda selepas menerima rayuan daripada pihak persatuan dan pengusaha pasar raya.

Tambahnya, keputusan tersebut juga selaras dengan semangat Syawal yang memberi ruang kepada masyarakat Islam meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa di samping menghidupkan tradisi hari raya bersama keluarga.

“Rakyat Kelantan boleh membuat perancangan awal untuk membeli keperluan sebelum operasi premis ditamatkan pada malam hari raya.
]
“Mana-mana pasar raya yang ingin melanjutkan waktu operasi pada malam raya boleh membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri boleh mempertimbangkannya sehingga jam 12 tengah malam,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2026

- Advertisement -