
TEHRAN: Pemerintah tentera Iran menegaskan bahawa dunia harus bersedia untuk menerima hakikat harga minyak akan mencecah USD200 setong, ketika tiga lagi kapal diserang di rantau Teluk.
Iran dilaporkan telah menyerang balas Israel dan menyasarkan di seluruh Timur Tengah pada hari Rabu, menunjukkan ia masih boleh melawan balik dan mengganggu bekalan tenaga walaupun apa yang digambarkan oleh Pentagon sebagai serangan AS-Israel yang paling sengit setakat ini ke atas negara Republik Islam itu.
Terdahulu, harga minyak yang melonjak awal minggu ini telah reda dan pasaran saham telah pulih, dengan pelabur bertaruh buat masa ini bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menemui cara pantas bagi menamatkan perang yang dimulakannya bersama Israel hampir dua minggu lalu.
Namun setakat ini keadaan itu tidak berlaku, dan tiada sebarang tanda menunjukkan bahawa kapal boleh belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz, di mana seperlima daripada minyak dunia telah disekat di sebalik saluran sempit di sepanjang pantai Iran dalam gangguan terburuk terhadap bekalan tenaga sejak kejutan minyak pada tahun 1970-an.
“Bersedialah untuk harga minyak mencecah USD200 setong, kerana harga minyak bergantung kepada keselamatan serantau yang telah anda gelojohkan,” kata jurucakap komando tentera Iran, Ebrahim Zolfaqari dalam komen yang ditujukan kepada AS.
Selepas pejabat sebuah bank di Tehran diserang semalaman, Zolfaqari juga berkata, Iran akan bertindak balas dengan serangan ke atas bank yang menjalankan perniagaan dengan AS atau Israel.
“Orang ramai di seluruh Timur Tengah harus berada 1,000 meter dari bank-bank berkenaan,” tegasnya.
Sementara seorang pegawai kanan Israel memberitahu Reuters bahawa para pemimpin negara itu kini secara peribadi menerima bahawa sistem pemerintahan Iran mampu kekal bertahan dalam perang tersebut, manakala dua pegawai Israel yang lain berkata tiada tanda Washington hampir menamatkan kempen tersebut.
Sementara dalam demonstrasi pembangkangan awam terkini, orang ramai Iran turun ke jalanan pada Rabu untuk upacara pengebumian komander tertinggi yang terbunuh dalam serangan udara.
Mereka membawa keranda dan bendera serta potret Pemimpin Agung Ali Khamenei yang terbunuh dan anak lelaki serta penggantinya, Mojtaba.
Dalam pada itu, seorang pegawai Iran memberitahu Reuters bahawa Mojtaba Khamenei telah cedera ringan pada awal perang, apabila serangan udara membunuh bapa, ibu, isteri dan seorang anak lelakinya.
Beliau tidak muncul di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang mesej langsung sejak perang bermula. Satu sumber juga berkata Israel percaya dia telah cedera ringan.
Terdahulu, tentera Iran berkata pada Selasa bahawa ia telah melancarkan peluru berpandu ke pangkalan AS di utara Iraq, ibu pejabat tentera laut AS untuk Timur Tengah di Bahrain, dan ke sasaran di tengah Israel.
Letupan bergema di Bahrain, manakala di Dubai empat orang cedera akibat dua dron yang terhempas berhampiran lapangan terbang.
Di Tehran, penduduk berkata mereka semakin biasa dengan serangan udara setiap malam yang telah menyebabkan ratusan ribu orang melarikan diri ke kawasan luar bandar dan mencemari bandar dengan hujan hitam daripada asap minyak.
Menurut duta Iran untuk PBB, Amir Saeid Iravani, lebih 1,300 orang awam Iran telah terbunuh sejak serangan udara AS dan Israel bermula pada 28 Februari 2026.
Serangan Iran ke atas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 11 orang dan dua askar Israel telah terkorban di Lubnan. Washington mengatakan tujuh askar AS telah terbunuh dan sekitar 140 telah cedera. – HARAKAHDAILY 12/3/2026











