
Soalan:
Seorang yang selalu keluar negara kerana berniaga maka dalam bulan Ramadan dia terbang ke beberapa buah negara dan apabila pulang ke negaranya untuk berhari raya jumlah hari yang telah dia puasa hanyalah dua puluh lapan hari sahaja. Adakah sah puasanya itu atau bagaimana?
Jawapan:
Jumlah hari berpuasa pada bulan Ramadan seperti pada bulan-bulan lain ialah dua puluh sembilan hari atau tiga puluh hari dengan ijmak ulamak maka tidak boleh kurang daripada itu dan tidak boleh lebih daripadanya.
Berkata Imam Ibnu Rusyd:
وقد أجمَعَ العلماءُ على أن الشهر إمَّا أن يكون تسعة وعشرين يومًا وإمَّا أن يكون ثلاثين يومًا
Ertinya: “Dan sungguh telah ijmak oleh ulamak atas bahawasanya bulan itu samada ada ia dua puluh sembilan hari dan samada bahawa adalah ia tiga puluh hari.” (Kitab Bidayah Al-Mujtahid)
Oleh kerana itu barangsiapa hanya berpuasa dua puluh lapan hari sahaja maka hendaklah dia menambah sehari lagi selepas hari raya bagi mencukupkan dua puluh sembilan dan jika dia telah berpuasa dua puluh sembilan hari maka dia tidak perlu menambah lagi kerana telah cukup.
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori:
وإنْ لم يَصُم إلا ثمانيةً وعشرين يومًا قَضَى يومًا؛ لأنَّ الشهر لا يكون كذلك بخلافِ ما إذا صام تسعةً وعشرين لا قضاء عليه؛ لأنَّ الشهر يكون كذلك
Ertinya: “Dan jika seorang itu tidak berpuasa melainkan dua puluh lapan hari sahaja maka hendaklah dia ganti akan sehari lagi kerana sungguhnya bulan itu tidak ada seperti demikian itu bilangannya bersalahan apabila dia telah berpuasa dua puluh sembilan hari maka tiada lagi ganti atasnya kerana sungguhnya bulan itu ada seperti demikian.” (Kitab Asna Al-Matolib)
Dan pada hari dia kembali ke negarnya yang berhari raya itu dia tidak boleh berpuasa kerana haram berpuasa pada hari raya dan dia wajib mengikut hukum yang berlaku pada negara yang dia berada.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:
لأنه بالانتِقال إلى بلدهم صار واحدًا منْهم فيلزمُه حكمُهم
Ertinya: “Kerana sungguhnya seorang itu apabila dia berpindah ke negara orang maka jadilah dia salah seorang daripada mereka maka wajib atasnya hukum mereka itu.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Kesimpulannya, siapa yang telah berpuasa selama dua puluh lapan hari kemudian pergi ke negeri yang telah berhari raya, maka dia wajib mengikut negeri itu berhari raya dan wajib dia ganti berpuasa sehari lagi selepas itu supaya jadilah puasanya sempurna bilangannya iaitu dua puluh sembilan hari.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 12/3/2026











