Lebih 700 pekerja kebersihan bertugas malam raya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih 700 pekerja kebersihan akan bertugas di seluruh Kelantan pada malam raya dan pagi hari raya bagi memastikan kawasan bandar dan lokasi bazar Aidilfitri berada dalam keadaan bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri turut menyediakan sumbangan khas Aidilfitri kepada petugas terbabit sebagai menghargai khidmat mereka.

- Advertisement -

Katanya, petugas kebersihan berkenaan akan menjalankan kerja pembersihan di kawasan bazar Aidilfitri dan lokasi tumpuan orang ramai selepas aktiviti jualan tamat pada malam raya.

“Seramai lebih 700 pekerja kebersihan akan bertugas di seluruh negeri pada malam raya dan pagi hari raya untuk membersihkan kawasan bazar serta tempat awam.

“Kerajaan negeri juga menyediakan sumbangan Aidilfitri kepada mereka kerana bertugas pada waktu malam raya bagi memastikan bandar dan kawasan awam berada dalam keadaan bersih,” katanya sewaktu sidang media selepas mesyuratat exco dwi mingguan di Kota Darul Naim, di sini.

Beliau turut mengingatkan peniaga bazar Aidilfitri supaya membersihkan semula kawasan perniagaan masing-masing dan tidak meninggalkan sampah selepas berniaga.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan boleh mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun atau menyenarai hitam lesen peniaga yang gagal mematuhi peraturan kebersihan.

“Kita minta semua peniaga bazar Aidilfitri supaya mengemas dan memastikan kawasan perniagaan masing-masing bersih.

“Jika dikenal pasti melanggar peraturan kebersihan, pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan kompaun atau menyenarai hitam lesen mereka,” katanya. –HARAKAHDAILY 12/3/2026

- Advertisement -