
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan mengumumkan pengaktifan ‘Mode PRU16’ di seluruh organisasi parti sebagai langkah persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) yang berlangsung pada Ahad, 8 Mac 2026 lalu.
“Sebagai langkah strategik, PAS Wilayah Persekutuan akan memberi tumpuan kepada lapan tambah satu kerusi Parlimen yang mempunyai komposisi pengundi Melayu.
“Dan (termasuk) kawasan campuran, termasuk kawasan yang pernah ditandingi oleh PAS pada PRU14 lalu,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua kawasan telah diarahkan untuk mengaktifkan sepenuhnya jentera pilihan raya berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menegaskan setiap jentera parti perlu berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung tarikh pilihan raya.
“Semua kawasan perlu bersedia seolah-olah PRU boleh berlaku pada bila-bila masa,” jelasnya.
Beliau menegaskan, persiapan itu melibatkan pemantapan jentera parti di semua peringkat, kesiapsiagaan calon-calon berpotensi serta pengukuhan dana pilihan raya.
“Ia adalah bagi memastikan gerak kerja pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Dalam masa sama katanya, PAS menegaskan keputusan muktamad berkaitan pengagihan kerusi akan ditentukan melalui rundingan bersama rakan-rakan ta’awun dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, PAS Wilayah Persekutuan terbuka untuk meneroka sebarang bentuk kerjasama politik yang mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada negara.
“PAS berpandangan Malaysia memerlukan perubahan kepimpinan yang lebih berani dan berintegriti selepas sekian lama berada dalam kitaran politik yang sama.
“Perubahan kepimpinan itu diyakini penting bagi memastikan negara bergerak ke arah masa depan yang lebih bersih, stabil dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2026











