Jangan jadikan ‘kejutan’ budaya urus pendidikan – Mohd Syahir

Susulan pengumuman cuti tambahan oleh KPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan, pengurusan yang baik dalam sektor pendidikan perlu berpandukan perancangan teliti dan tidak menjadikan elemen ‘kejutan’ sebagai budaya.

Beliau berkata, polemik pelajar enam tahun yang memasuki Darjah 1 sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran dalam merancang dasar pendidikan.

- Advertisement -

“Semuanya perlu dirancang lebih awal. Apatah lagi dalam sektor pendidikan, perancangan adalah kunci kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memberikan satu hari cuti tambahan pada 18 Mac bersempena Aidilfitri tahun ini.

Menurut KPM, pemberian cuti tambahan itu bertujuan memberi ruang kepada guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya bagi menyambut Aidilfitri dalam suasana teratur.

Walau bagaimanapun Syahir berkata, dalam konteks cuti Hari Raya Aidilfitri, kepulangan ke kampung halaman amat dinantikan terutama bagi anak perantauan.

Menurut beliau, pengalaman bermastautin di Sarawak suatu ketika dahulu menunjukkan urusan pembelian tiket menjadi cabaran utama apabila faktor kos, masa dan ‘kuota’ cuti tahunan perlu diambil kira.

Selain itu ulasnya, mereka yang menetap di negeri berlainan khususnya di Lembah Klang juga berdepan dilema sama apabila kesesakan jalan raya sudah menjadi kelaziman setiap kali musim perayaan.

KPM sebelum ini turut dilaporkan memaklumkan langkah itu selaras dengan komitmen kementerian untuk sentiasa memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan warga pendidikan.

Sehubungan itu, Mohd Syahir yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN) berkata, pengumuman berkenaan sememangnya disambut baik dan amat dinantikan.

Pada masa sama, beliau menyarankan KPM menambah baik kaedah pengurusan takwim persekolahan.

“Ia supaya semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pelajar dapat membuat perancangan lebih awal dan teratur, khususnya melibatkan cuti perayaan utama di negara ini,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam merangka takwim tahunan, perkara seperti itu sebenarnya boleh ‘dicerap’ lebih awal.

Katanya lagi, KPM dan Menteri Pendidikan wajar mengambil kira keperluan pembelajaran, jadual peperiksaan serta beban tugas warga pendidik.

Ia menurut beliau dalam menyusun jadual tahunan termasuk penetapan cuti persekolahan yang berwajaran dengan realiti kemajmukan kaum dan agama dalam negara.

“Elakkan pengumuman pada saat akhir,” kata Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada KPM kerana prihatin memberikan cuti tambahan kepada warga pendidikan.

“Setiap nikmat, setiap kebaikan wajar disyukuri. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2026

- Advertisement -