Awas! Tipu jual beli kereta ‘3 penjuru’

Orang ramai diminta lebih berhati-hati

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berurusan dalam urusan jual beli kenderaan secara dalam talian diingatkan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan yang dikenali sebagai modus operandi ‘3 penjuru’.

Balai Polis Batu Pahat dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa taktik penipuan tersebut dipercayai semakin berleluasa apabila penipu mengambil kesempatan terhadap urusan jual beli kenderaan yang dilakukan melalui platform dalam talian seperti Mudah.my dan Facebook Marketplace.

- Advertisement -

Menurut kenyataan itu, suspek akan terlebih dahulu menghubungi pemilik kenderaan yang mengiklankan kereta untuk dijual dan menyatakan minat untuk membeli kenderaan berkenaan.

“Suspek biasanya akan meminta beberapa maklumat penting seperti salinan geran kenderaan, salinan kad pengenalan serta gambar kenderaan.

“Selepas memperoleh maklumat tersebut, penipu akan mengiklankan semula kenderaan yang sama kepada pembeli lain, lazimnya dengan harga lebih rendah bagi menarik minat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan Balai Polis Batu Pahat itu menjelaskan, dalam situasi itu penipu akan meyakinkan bakal pembeli bahawa dia adalah pemilik kenderaan atau wakil kepada pemilik sebenar bagi menimbulkan kepercayaan mangsa.

“Apabila pembeli bersetuju untuk membeli kenderaan berkenaan, bayaran akan diminta supaya dibuat ke akaun penipu kononnya bagi memudahkan urusan pindah milik.

“Namun selepas pembayaran dilakukan, wang tersebut tidak pernah sampai kepada pemilik sebenar dan suspek akan menghilangkan diri.

“Akibatnya, pemilik kenderaan tidak menyerahkan kereta kerana tidak menerima bayaran, manakala pembeli pula mengalami kerugian apabila wang telah diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, Balai Polis Batu Pahat menasihatkan orang ramai supaya mengambil beberapa langkah keselamatan sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Antara langkah penting ialah memastikan pembeli atau penjual berjumpa secara bersemuka dengan pemilik sebenar kenderaan serta mengesahkan nama pada kad pengenalan adalah sama seperti yang tertera pada geran kenderaan,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan itu berkata pembayaran hendaklah dibuat terus kepada pemilik sebenar dan bukannya kepada akaun pihak ketiga, termasuk akaun rakan, ejen atau individu yang mendakwa sebagai ‘runner’.

“Orang ramai juga digalakkan melakukan proses pindah milik secara rasmi di Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dengan kehadiran kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli, selain membawa geran asal serta kad pengenalan bagi mengelakkan sebarang penipuan,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 11/3/2026

- Advertisement -