‘Bimbang double standard dalam isu keagamaan’

Dr Muhammad Khalil pada Majlis Penyerahan Perumahan Terengganu Sejahtera (PTS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyuarakan kebimbangan beliau terhadap fenomena yang berlaku kini, khususnya berhubung penghinaan terhadap al-Quran dan melibatkan orang Melayu.

Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menghina agama Islam, namun malangnya berlaku ketidaksamarataan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan 3R (Agama, Kaum, Raja).

- Advertisement -

“Isu pijak Al-Quran sepatutnya diambil tindakan yang tegas. Jangan pula apabila orang Melayu atau Islam setengah itu terlepas cakap, lalu dihentam dan dicaci dengan sebegitu rupa, dikenakan pelbagai tindakan.

“Tapi dalam masa yang sama, pihak lain bila buat sesuatu yang mencaci dan mengeji agama kita, tidak diambil tindakan yang sepatutnya. Jadi di situ wujud double standard,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Perumahan Terengganu Sejahtera (PTS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, parti PAS dan Perikatan Nasional tidak bersetuju dengan undang-undang 3R yang dibawa sebelum ini kerana ia bertentangan dengan prinsip yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Islam sebagai agama persekutuan, raja-raja Melayu, kedudukan bangsa Melayu dan Bumiputera serta bahasa Melayu telah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan. Jadi apabila undang-undang itu dibawa, ia agak janggal,” katanya.

Khalil yang juga ADUN Batu Buruk berkata, walaupun hak minoriti perlu dijaga, majoriti rakyat terdiri daripada orang Melayu dan Islam, juga mesti dihormati.

“Agama yang dominan dalam negara kita ialah agama Islam sehingga diletakkan dalam perlembagaan. Jadi, kita mestilah menjaga betul-betul tonggak tersebut supaya tidak dijadikan alasan oleh pihak-pihak yang tentu mengambil kesempatan.

“Kerana itulah kita perlu membezakan antara orang yang mempergunakan ketiga-tiga perkara tadi dengan kita menggunakan dan juga memastikan ianya terpelihara dan terjaga,” katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan Kerajaan Madani yang dilihat cuba membawa naratif kesamarataan antara semua agama.

“Kita sangat bimbang dengan keadaan dan juga pendirian Kerajaan Madani pada hari ini yang kita tahu bahawa kerajaan ini nak membawa satu agenda yang mana naratifnya semua kearah semua agama adalah sama di atas dasar kesamarataan.

“Justeru konsep yang sebenar di sisi Islam ialah keadilan. Keadilan ni bukannya sama rata. Keadilan ni ialah sesuatu itu mesti dah diletak kena pada tempatnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2026

- Advertisement -