
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sokongan terhadap Iran antara negara Islam.
Menurut beliau, isu semasa perlu dilihat secara menyeluruh, kerana konflik yang berlaku merupakan perang agama.
“Bukan saya yang kata, ini dinyatakan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Menteri-menterinya, Perdana Menteri Israel dan menteri-menterinya bahawa perang ini adalah perang agama.
“Bagi mereka, semua orang Islam adalah musuh tanpa mengira Syiah, Sunni, Khawarij atau mana-mana kumpulan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Perumahan Terengganu Sejahtera (PTS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di sini, hari ini.
Dr Muhamamad Khalil yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa PAS Pusat berkata, walaupun Iran bermazhab syiah, ia masih tergolong sebagai negara Islam.
“Sepatutnya pada hari ini kita tidak boleh mempersoalkan negara Iran itu adalah negara syiah, kita sunni tak boleh sokong sedangkan ia masih lagi umat islam kerana mereka mengucap dua kalimah syahadah solat menghadap ke arah ka’bah, baca al-quran yang sama seperti kita, beriman kepada rukun-rukun iman.
“Malah, Iran disenaraikan sebagai ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Jadi, kalau ia tidak dikenal sebagai negara Islam, kenapa dijadikan ahli sebagai OIC? Begitu juga dalam negara kita. Tiap-tiap tahun ada majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa, mereka turut dijemput,” jelasnya.
Tambah beliau, sebarang sokongan terhadap perjuangan membebaskan Palestin daripada kezaliman Zionis Israel yang disokong Amerika Syarikat harus diberikan tanpa mengira perbezaan mazhab.
Dalam konteks ini, katanya, Iran adalah satu-satu negara yang menunjukkan sikapnya demikian berbeza dengan negara-negara Islam yang lain yang sangat mendukacitakan khususnya negara-negara Arab.
“Jadi, dalam konteks ni kita tak perlu keliru untuk memberikan sokongan kita kepada negara Iran. Bukan sahaja dalam konteks ia sebuah negara Islam, walaupun beza mazhab dengan kita, tetapi apa yang lebih penting ialah ia dizalimi, dinafikan haknya.
“Sehingga kalau kita buat perbandingan, negara haram Israel melanggar pelbagai undang-undang antara masa tapi tidak dikenakan tindakan. double standard. Jadi itulah hakikat dan realiti dunia yang kita hidup pada hari ini,” katanya – HARAKAHDAILY 11/3/2026











