Ganas, melampau batas, gugat harmoni perlu dikekang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Hairi, mengecam sekeras-kerasnya insiden pembakaran tiga kereta milik aktivis rakyat, S Chandrasegaran atau dikenali sebagai Cikgu Chandra yang dilaporkan berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan perbuatan ekstrem dan jenayah yang tidak boleh diterima dalam masyarakat yang menghormati undang-undang serta nilai kemanusiaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, sebarang perbezaan pandangan atau ketidakpuasan hati tidak boleh diterjemahkan melalui keganasan atau melampaui batas undang-undang kerana perbuatan sebegini hanya menimbulkan ketakutan dalam masyarakat dan menggugat keharmonian yang telah sekian lama dibina.

“Semua pihak perlu bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan. Berilah ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa di sebuah hotel di Putrajaya.

Beliau turut menekankan bahawa rakyat perlu terus mematuhi undang-undang dan tidak mengambil tindakan sendiri, memandangkan negara mempunyai sistem perundangan yang jelas.

“Setiap isu perlu diselesaikan melalui saluran yang sah, bukan melalui tindakan ganas atau provokasi,” tambah beliau.

Dalam kenyataannya, Dr Ahmad Yunus juga menyeru wakil rakyat agar memelihara keharmonian masyarakat majmuk dengan menggalakkan perpaduan kaum serta toleransi agama.

Menurut beliau, kenyataan atau tindakan yang bersifat provokatif hanya akan menambah ketegangan dan berpotensi mencetuskan kemarahan tidak terkawal.

Beliau mengingatkan rakyat agar mengambil iktibar daripada beberapa kejadian sebelum ini di Selangor apabila kenyataan melulu oleh ahli politik telah mencetuskan suasana tegang, sehingga mengorbankan nyawa penjawat awam.

“Perkara sebegini tidak boleh berulang,” tegas beliau.

Sehingga kini, rakyat masih menanti tindakan konkrit daripada pihak kerajaan bagi mengelakkan polemik dakwaan penghinaan antara agama, binaan rumah ibadah tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan persendirian daripada terus berlarutan.

Dr Ahmad Yunus juga menekankan bahawa semua pihak, termasuk pemimpin politik, masyarakat dan pengguna media sosial, perlu lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan serta berkongsi maklumat bagi mengelakkan penyebaran sentimen kebencian atau kemarahan melampau.

“Keamanan dan keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama. Segala bentuk keganasan dan tindakan melanggar undang-undang mesti ditolak sepenuhnya demi memastikan Malaysia terus aman, stabil dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2026

- Advertisement -