
KUALA LUMPUR: “Ini baru buku dengan ruas.”
Itu penegasan Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad susulan respons beliau mengenai ketegasan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terhadap kenyataan Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan media sebelum ini, IRGC menegaskan bahawa mereka yang akan menentukan bila perang dengan Amerika Syarikat (AS) berakhir.
IRGC berkata demikian menolak kenyataan Presiden AS Donald Trump bahawa konflik akan ‘tamat tidak lama lagi’.
IRGC turut mengeluarkan amaran keras bahawa Tehran tidak akan membenarkan ‘walau seliter minyak’ dieksport keluar dari rantau Teluk sekiranya serangan Amerika Syarikat – Israel diteruskan.
Ancaman itu berkait dengan kawalan strategik Iran ke atas Selat Hormuz, laluan kira-kira seperlima perdagangan minyak dunia.
Komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, Brig Jen Majid Mousavi mengumumkan Iran akan meningkatkan kekuatan dan kekerapan pelancaran peluru berpandu, termasuk membawa kepala peledak seberat sekurang-kurangnya satu tan.
IRGC menegaskan, Iran masih mampu melebarkan perang dan tidak akan tunduk kepada desakan Washington untuk ‘penyerahan tanpa syarat’.
Walaupun AS menghimpunkan kekuatan tentera besar di sekeliling Iran, negara itu belum benar-benar ‘dikepung’ secara sepenuhnya, dan masih mampu melancarkan serangan balas ke pangkalan AS di Timur Tengah.
AS menempatkan pelbagai aset ketenteraan termasuk dua kumpulan kapal induk, pesawat pejuang F-22, F-15, F-35, kapal perang bersenjata peluru berpandu ‘cruise’, serta pesawat ‘radar’ dan ‘tanker’ sokongan di pangkalan sekitar Israel, Jordan, Teluk Parsi dan Mediterranean.
Pengumpulan itu merupakan antara yang terbesar di Timur Tengah sejak perang Iraq 2003.
Serangan udara dan peluru berpandu terhadap sasaran di Iran telah berlaku pada 28 Februari 2026, dilancarkan bersama Israel.
Serangan menyasarkan sistem pertahanan udara, pelancar misil balistik dan pusat kawalan tentera, sekali gus mencetuskan perang terbuka di rantau tersebut.
Namun, Iran masih menunjukkan kemampuan menyerang balas dengan melancarkan drone dan peluru berpandu ke pangkalan AS di Kuwait, Bahrain dan negara Teluk lain.
Banyak peluru berpandu turut memasuki ruang udara Jordan sebelum dipintas oleh pertahanan udara, menunjukkan laluan serangan Iran masih terbuka.
Dari segi peta ketenteraan, istilah ‘dikepung’ merujuk kepada Iran yang dikelilingi oleh negara dengan pangkalan tentera Barat atau sekutu AS, termasuk Iraq, Kuwait, Qatar, Bahrain, UAE, Arab Saudi, Turki dan Mediterranean.
Walaupun berada dalam ‘lingkungan tekanan tentera’, Iran belum mengalami kepungan sepenuhnya atau pencerobohan darat. – HARAKAHDAILY 10/3/2026











