Ekstremisme tidak wajar dikaitkan dengan kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan membakar kereta milik seorang aktivis rakyat,S Chandrasegaran atau dikenali sebagai Cikgu Chandra disifatkan sebagai perbuatan ekstrem yang tidak boleh diterima dan perlu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nadzir Helmi berkata, insiden tersebut tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana kaum kerana masyarakat India di Malaysia secara umumnya dikenali sebagai ramah dan mudah bergaul.

- Advertisement -

Menurutnya, sepanjang pergaulannya dengan rakan-rakan daripada kaum India, mereka bukan sahaja tidak bersikap ekstrem malah mudah berinteraksi dan hidup secara harmoni bersama masyarakat lain.

“Yang ekstrem adalah individu yang membakar kereta Cikgu Chandra. Kita juga tidak tahu siapa sebenarnya yang melakukan perbuatan itu dan tidak mustahil ia bukan daripada kalangan kaum India,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial.

Beliau berkata, sekiranya terdapat dakwaan bahawa Cikgu Chandra mengganggu ketenteraman awam, perkara tersebut sepatutnya diselesaikan melalui saluran undang-undang.

“Biarlah pihak polis menjalankan siasatan. Difahamkan Cikgu Chandra juga telah ditahan sebelum ini dan kemudiannya dilepaskan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan membakar kenderaan mangsa berpotensi mencetuskan ketegangan yang tidak diingini dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.

Menurutnya, insiden sedemikian mengingatkan kepada ketegangan yang pernah berlaku ketika kejadian rusuhan di kuil yang mengorbankan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Siapa pun yang membakar kereta Cikgu Chandra adalah seorang ekstremis. Individu tersebut perlu ditangkap, dibicarakan dan dihukum mengikut undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzir menegaskan bahawa masyarakat wajar mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan seperti itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang menyokong atau memperlekehkan kejadian tersebut dengan kenyataan seperti ‘padan muka’ hanya akan dilihat sebagai menyokong tindakan ekstrem yang tidak bertamadun. HARAKAHDAILY – 10/3/2026

- Advertisement -