Pejuang Islam jadikan al-Quran panduan diri, dustur negara

- Advertisement -

ALOR SETAR: Syirik kepada Allah adalah penyakit yang bermula dari kejahilan lalu menyebabkan penyakit maksiat, kejahatan, kezaliman, penindasan dan peperangan melanda manusia kerana tidak menuruti tuntutan sebenar Al-Quran.

- Advertisement -

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, Allah SWT tidak membiarkan manusia mencari ubat sendiri kerana belum tentu boleh menjadi penawar untuk mengubatinya penyakit yang dihadapi.

“Maka penyakit syirik yang terkena pada hati diubati Allah SWT dengan
perintah untuk beriman. Penyakit jahil yang menimpa akal diubati
dengan ilmu pengetahuan.

“Sementara penyakit yang melibatkan kejahatan maksiat pada seluruh anggota tubuh yang membawa manusia melakukan pelbagai kejahatan dan kezaliman juga diubati dengan al-Quranul Karim,” ujarnya pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Penawar yang hebat itu katanya bukan sahaja mampu menjadi penawar kepada penyakit umat manusia tetapi mampu mengubah dunia yang penuh dengan kejahatan dan penindasan kepada keamanan serta kesejahteraan.

Menurutnya, akan datang satu zaman, Al-Quran 30 juzuk bersama manusia tetapi hanya diletakkan di dalam almari masjid, surau, rumah, dalam kereta dan telefon bimbit, namun di dalam hati tidak ada iman kerana tidak dibaca serta menghayatinya.

“Berbeza dengan para Sahabat Rasulullah SAW, apabila sahaja diturunkan ayat-ayat Al-Quran, mereka terus mengimaninya, membaca serta menghafal, termasuk mengamal dan memperjuangkannya,” jelas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Beliau menyeru para pejuang Islam seluruh dunia berusaha meninggikan kalimah Allah, dengan menjulang Al-Quranul Karim menjadi ‘dustur’ iaitu perlembagaan dan cara hidup sama ada diri sendiri mahupun negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengajak para hadirin agar berterima kasih serta bersyukur dengan usaha sesetengah pihak mahupun individu yang berusaha mengkhatam kitab-kitab tafsir untuk dikongsi dengan orang lain sebagai panduan.

Ustaz Ahmad turut berkongsi cerita bagaimana komitmen seorang guru pondok yang mengajar tafsir Nurul Ihsan dan begitu berharap agar beliau sempat khatam sebelum dijemput pulang ke pangkuan Ilahi, di mana akhirnya Allah memakbulkan keinginannya.

“Tuan Guru Presiden PAS, Tan Sri TuannGuru Abdul Hadi Awang juga sudah dua kali khatam tafsir Al-Quran di Masjid Rusila. Tok guru juga ada buah tangan untuk kita, iaitu tafsir At-Tibyan yang kini difahamkan hampir siap.

“Maknanya tak lambat lagilah akan berada di tangan kita nanti,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/3/2026

- Advertisement -