
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menggesa agar Sidang Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera diadakan bagi membahaskan isu serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas kedaulatan Republik Islam Iran.
Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Negeri Kedah berkata, serangan dilakukan tersebut tidak mendapat mandat Majlis Keselamatan PBB dan bercanggah Piagam PBB.
“Desak agar Sidang Tergempar Perhimpunan Agung di bawah mekanisme ‘Uniting for Peace’ atau resolusi bersama negara-negara berkecuali bagi memastikan tindakan unilateral Amerika Syarikat dan Israel ini perlu dibahaskan.
“Supaya tidak dibiarkan menjadi norma yang baru kepada hubungan antarabangsa dan supaya Amerika dan Israel ini tidak kehausan darah nak membunuh rakyat di negara-negara lain itu,” ujarnya mengharap peranan Kerajaan Malaysia.
Beliau berkata demikian susulan kunjungan disertai sama Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi menandatangani buku ucapan takziah rasmi di Kedutaan Republik Islam Iran, di sini kelmarin.
Kehadiran mereka atas kapasitinya Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu diketuai Wan Fayhsal selalu Ketua Portfolio Antarabangsa PN, selain Dr Halimah juga merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia.
Ahmad Tarmizi memaklumkan syor tersebut ada dikemukakan beliau secara rasmi dalam perbahasan Usul Mengutuk Serangan Amerika Syarikat dan Israel Ke Atas Republik Islam Iran di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.
Beliau turut mengemukakan syor pada usul dikemukakan sendiri Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut menuntut supaya dihentikan perbalahan dan mencari kedamaian di Rantau Teluk dan juga di Iran itu.
Serunya, Malaysia perlu menzahirkan sokongan solidariti terbuka kepada Iran dan rakyatnya yang kini menjadi mangsa hegemoni Amerika Syarikat dan Israel, di mana selain menerusi kenyataan media, juga mengadakan kunjungan rasmi ke Kedutaan Republik Islam Iran.
Ahmad Tarmizi memaklumkan sebelum ini beliau dan Menteri Kerajaan iaitu Datuk Seri Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad pernah hadir ke Sambutan 47 Tahun Revolusi Islam Iran di kedutaan tersebut.
Serangan pada hujung minggu lalu itu telah menyebabkan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei syahid bersama ahli keluarganya dan beberapa pemimpin politik serta pemerintah tinggi tentera Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan 180 pelajar. – HARAKAHDAILY 8/3/2026











