Kuil dekat Hospital Bkt Mertajam: Perlu nilai semula

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Kerajaan Negeri disarankan menjalankan semakan menyeluruh terhadap semua rumah ibadat khususnya yang didirikan tanpa kelulusan bagi memastikan penyelesaian adil, harmoni dan selaras dengan undang-undang dapat dilakukan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, selain itu ia juga bagi memastikan sebarang aktiviti keagamaan di rumah ibadat tidak menggangu kepentingan awam.

“Perhimpunan di hadapan sebuah kuil berhampiran kawasan Hospital Bukit Mertajam, baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat.

“Situasi itu telah menyebabkan kesesakan dan gangguan di laluan utama menuju ke hospital, termasuk laluan digunakan oleh pesakit di unit kecemasan, pelawat, serta kakitangan perubatan yang sedang menjalankan tugas,” tegas beliau.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, semua pihak sedia maklum hospital merupakan kawasan kritikal yang perlu dipelihara kelancarannya setiap masa.

Malah ujarnya, sebarang aktiviti atau struktur yang boleh menjejaskan akses ke hospital, khususnya ke bahagian kecemasan, adalah sesuatu amat membimbangkan.

“Kejadian seperti itu bukan sahaja mengganggu kelancaran trafik ke hospital tersebut sebaliknya berpotensi menjejaskan keselamatan serta nyawa pesakit yang memerlukan rawatan segera.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dan keutamaan demi kepentingan awam dan kelancaran operasi hospital dan menjaga kemaslahatan sejagat,” tambah beliau.

Walau bagaimanapun, penyelesaian diambil, pada pandangannya, perlukan dilaksanakan dengan cara terbaik sama ada melalui dialog yang matang.

“Kerajaan Negeri juga boleh membuat pertimbangan, seperti melakukan pemindahan ke tapak yang lebih sesuai, dengan penuh
penghormatan terhadap penganut agama berkenaan,” kata Ustaz Fawwaz lagi.

Ujar beliau, pandangan serta saranan tersebut bukanlah bermakna PAS Pulau Pinang menafikan hak bukan Islam sebaliknya pihaknya menghormati kebebasan beragama di negara ini sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun katanya, semua pembinaan rumah ibadat perlulah mematuhi undang-undang dan peraturan perancangan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, tegas beliau, langkah penyelesaian yang tuntas dan seimbang dengan meraikan kedua-dua pihak terlibat perlulah segera diambil oleh Kerajaan Negeri, termasuk juga Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 8/3/2026

- Advertisement -