Kehilangan besar buat Malaysia, Dunia Islam moden

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dunia akademik dan pemikiran Islam kehilangan seorang tokoh besar dengan pemergian Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah kembali ke rahmatullah semalam.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan sepanjang hayatnya, Allahyarham telah dikenali sebagai antara pemikir peradaban Islam paling berpengaruh dalam dunia Islam moden.

“Sumbangannya dalam bidang falsafah, sejarah, teologi dan pendidikan, serta usaha mengasaskan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), telah memberi kesan besar kepada perkembangan wacana intelektual Islam di peringkat antarabangsa.

“Ucapan takziah dirakamkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian tokoh ilmuwan besar ini,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas terhadap berita pemergian Allahyarham 6.45 petang Ahad.

Allahyarham yang dilahirkan pada tahun 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia telah berusia 93 tahun pernah menamatkan pengajian di English College, Johor Bahru (kini Maktab Sultan Abu Bakar) pada tahun 1946.

Pada 1957, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Universiti Malaya, Singapura sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah di University McGill, Kanada (1960) dan memperoleh ijazah seterusnya dari University of London, United Kingdom (1963).

Sepanjang kerjayanya, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting, antaranya sebagai Ketua Bahagian Sastera di Jabatan Pengajian Melayu UM (1965) dan Dekan Fakulti Seni di universiti yang sama (1968).

Allahyarham juga dikenali merupakan tokoh penting di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana beliau mengasaskan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) pada tahun 1973.

Antara sumbangan terbesar beliau termasuklah gagasan Islamisasi Ilmu dengan memperkenalkan konsep Islamisasi ilmu merangkumi bidang agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, serta sastera dan seni.

Beliau turut menghasilkan lebih 30 buku dan monograf antara tahun 1959 hingga 2015, termasuk karya masyhur seperti The Mysticism of Hamzah Fansuri (1965), Islam Dalam Sejarah & Kebudayaan Melayu (1972), dan Islam & Secularism (1978).

Antara sejarah paling sinonim dikaitkan dengan dirinya juga adalah pada tahun 1987, beliau mengasaskan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) yang telah melahirkan ramai sarjana dan ilmuwan terkemuka.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah mempengerusikan panel mengenai Islam di Asia Tenggara di Paris (1973), menjadi perunding utama bagi Festival Dunia Islam di London (1976), dan mempengerusikan mesyuarat UNESCO di Aleppo, Syria pada tahun 1978.

Pada 23 Oktober 2024, Allahyarham secara rasmi telah dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu istiadat di Istana Negara.

Penganugerahan ini menjadikan beliau individu kedua di Malaysia yang menerima gelaran tertinggi dalam kalangan profesor, selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menerimanya pada tahun 1978.

Gelaran ini merupakan pengiktirafan tertinggi atas jasa dan sumbangan luar biasa beliau terhadap negara, khususnya dalam bidang pendidikan dan tamadun Islam.

Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukan Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai mutiara ilmu yang tiada galang gantinya dalam sejarah akademik Malaysia dan dunia Islam.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” kata Ahmad Fadhli. – HARAKAHDAILY 9/3/2026

- Advertisement -