Perkembangan mutakhir perang Iran-AS-negara haram Israel

- Advertisement -

TENTERA Amerika Syarikat dan rejim penjajah Zionis Israel terus melancarkan serangan udara bertali arus ke atas Iran dengan mengebom Tehran, Yazd, Isfahan, Chabahar, Zangan, Shiraz, Kepulauan Kish, Sanandaj, Kermanshah, Tabriz dan beberapa wilayah lagi yang mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dan harta benda serta korban nyawa dan kecederaan.

- Advertisement -

Sehingga hari ini menurut laporan Bulan Sabit Merah Iran, lebih 555 warga Iran terkorban dengan ribuan lagi warga Iran dilaporkan cedera. Sekolah Rendah Perempuan di bandar Minab, di wilayah Hormozgan yang menjadi mangsa rakus serangan udara tentera udara Amerika Syarikat dan rejim penjajah Zionis Israel menjadi insiden paling menyayat hati apabila lebih 180 orang kanak-kanak terkorban dengan ratusan lagi dilaporkan cedera.

Tentera Amerika Syarikat dan negara haram Israel juga turut mengebom Hospital Gandhi di Tehran, Iran yang mengakibatkan kemusnahan yang teruk selain beberapa lagi hospital di Iran turut menjadi sasaran.

Tentera Iran dan IRGC terus melancarkan serangan balas dengan menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat dan aset-aset strategik di Asia Barat seperti loji pemprosesan minyak mentah dan LNG seperti di Arab Saudi, Qatar, UAE, Jordan, Kuwait, Bahrain serta di wilayah Kurdistan dan Baghdad di Iraq.

Serangan bertali arus ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Bahrain, wilayah Kurdistan, UAE, Kuwait dan Qatar mengakibatkan kerosakan terus ke atas pangkalan tentera udara tersebut.

Loji pemprosesan minyak mentah terbesar ARAMCO yang terletak di Ras Tanura mengalami kerosakan teruk setelah menjadi sasaran dron milik Iran.

Begitu juga loji pemprosesan LNG milik Qatar Energy yang terletak di Bandar Industri Las Raffan dan Bandar Industri Mesaieed yang terpaksa ditutup setelah mengalami kerosakan teruk akibat daripada serangan dron Iran.

Berikutan itu harga LNG mengalami kenaikan tinggi sehingga 46 peratus akibat Qatar menghentikan operasi dan penghantaran LNG.

Harga minyak mentah juga mengalami kenaikan melebihi 10 peratus, iaitu lebih daripada USD82 satu tong berikutan kekangan bekalan.

IRGC turut menyatakan bahawa ia telah melancarkan serangan dron ke atas pangkalan tentera udara Akrotiri milik tentera udara United Kingdom di Limassol, Cyprus.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan bahawa operasi ketenteraan ke atas Iran mungkin mengambil masa selama empat ke lima minggu dan Amerika Syarikat akan meneruskan operasi ketenteraannya ke atas Iran sehingga matlamat operasi ketenteraan tersebut tercapai.

Namun Donald Trump menyatakan bahawa ia terkejut apabila Iran melancarkan serangan ke atas negara-negara Asia Barat.

Dalam masa sama Donald Trump menyatakan ia tidak menolak kemungkinan untuk menghantar tentera daratnya ke Iran.

Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Nasional Republik Islam Islam Ali Larijani menafikan bahawa beliau mengetuai inisiatif untuk menyambung semula rundingan dengan Amerika Syarikat dan menegaskan bahawa Iran tidak akan kembali ke meja rundingan di sebalik kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang berkata bahawa Iran telah menawarkan untuk meneruskan rundingan.

Ali Larijani turut menyatakan bahawa Iran telah bersiap sedia untuk mengharungi perang jangka panjang.

Arab Saudi menafikan laporan Washington Post yang menyatakan bahawa desakan dan lobi daripada Arab Saudi selain daripada negara haram Israel membantu menggerakkan Presiden Amerika Syarikat untuk menyerang Iran.

Pemimpin tiga negara utama Eropah iaitu Jerman, Perancis dan United Kingdom telah mengeluarkan kenyataan bersama dan mengancam untuk melaksanakan tindakan ketenteraan ke atas Iran jika ia terus menyerang negara-negara Asia Barat.

Tentera rejim penjajah Zionis Israel telah memanggil lebih 100,000 anggota tentera simpanan untuk kembali bertugas bagi menyokong peperangan dan keselamatan dengan tentera rejim penjajah Zionis Israel  telah menaikkan amaran ke tahap tertinggi di semua peringkat.

Amerika Syarikat telah menutup kedutaannya di Manama, Bahrain berikutan semakin meningkatnya serangan dron dan peluru berpandu Iran ke atas negara tersebut.

Kedutaan Amerika Syarikat di Kuwait dilaporkan mengalami kerosakan akibat menjadi sasaran peluru berpandu atau dron Iran.

Hizbullah pada lewat malam semalam secara rasminya telah memasuki ‘gelanggang perang’ apabila telah melancarkan serangan dron dan roket ke arah selatan negara haram Israel.

Susulan Hizbullah mula melancarkan serangan ke atas negara haram “Isr4 Hell”, tentera penjajah regim Zionis Israel kembali mula menyerang Lubnan dengan melancarkan serangan udara bertali arus ke atas Beirut dan kawasan-kawasan di wilayah Selatan Lubnan.

Kerajaan Lubnan telah mengenakan sekatan ke atas Hizbullah dari melaksanakan sebarang aktiviti bersenjata di seluruh Lubnan berikutan serangan Hizbullah ke atas negara haram Israel dan menuntut Hizbullah untuk menyerahkan ke semua senjata mereka.

Kerajaan Lubnan juga turut menyatakan bahawa ia bersiap sedia untuk menyambung semula rundingan dengan negara haram Israel.

Kesemua negara GCC setelah selesai bermesyuarat mengisytiharkan bahawa ia berhak untuk bertindak balas terhadap serangan Iran ke atas wilayahnya dengan satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar, Jordan, UAE, Kuwait dan Bahrain mengecam keras serangan Iran ke atas negara-negara Asia Barat.

Dilaporkan bahawa tiga buah pesawat pejuang F-15E milik Amerika Syarikat telah musnah akibat tembakan sesama sendiri di Kuwait walaupun terdapat laporan bahawa ia telah ditembak oleh sistem pertahanan udara Iran khususnya sistem pertahanan udara S-300 buatan Rusia..

IRGC dilaporkan telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik hipersonik ke atas pejabat Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu selain turut menyasarkan pejabat Komander Tentera Udara rejim penjajah Zionis Israel  Kemudiannya lewat petang semalam Pejabat Perdana Menteri negara haram Israel menafikan ianya berlaku.

UAE dan Qatar sedang melobi sekutunya untuk menyakinkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump supaya menamatkan atau menghadkan peperangan dengan Iran seberapa segera.

Semalam adalah hari yang amat sibuk buat Presiden Rusia Vladimir Putin dan Menteri Luar China Wang Yi apabila Vladimir Putin seharian mengadakan rundingan melalui talifon dengan hampir majoriti pimimpin negara Asia Barat termasuk Iran manakala Wang Yi mengadakan rundingan dalam jangka masa yang lama melalui telefon dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi.

Utusan Iran ke Agensi Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan bahawa tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel telah menyasarkan fasiliti nuklear Natanz dalam serangan udaranya.

Keadaan tegang tercetus di Baghdad, Iraq apabila ribuan rakyat Iraq beramai-ramai cuba menyerbu kedutaan Amerika Syarikat di Zon Hijau sebelum dihalang oleh Polis Iraq sehingga berlakunya pertempuran antara keduanya.

Kementerian Luar UAE mengumumkan bahawa ia telah menutup kedutaannya di Tehran, Iran dan memanggil pulang duta dan kakitangan kedutaannya.

Kerajaan Republik Islam Iran lewat hari ini menyatakan bahawa regim penjajah Zionis Israel adalah entiti yang menyerang Loji Pemprosesan Minyak Mentah Aramco di Ras Tanura, bukannya Iran dan ia adalah operasi ‘false flag’ yang dilakukan rejim penjajah Zionis Israel untuk menyalahkan Iran dan meneruskan serangan ke atas Iran.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
13 Ramadan 1447H / 3 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 3/3/2026

- Advertisement -