Kenaikan cukai tanah mendadak, rakyat dimangsakan

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Kenaikan kadar cukai tanah yang melonjak di saat ekonomi tidak menentu, mencerminkan kegagalan Kerajaan Negeri mengurus peralihan dasar secara berperingkat dan berhemah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff membidas kenaikan kadar cukai tanah mendadak yang disifatkannya telah memangsakan rakyat.

- Advertisement -

Kata beliau, walaupun alasan diberikan oleh Kerajaan Negeri kononnya ia hanyalah ‘pelarasan kadar sebenar’, namun hakikatnya rakyat menerima bil yang mengejut dan membebankan.

“Keadilan fiskal tidak boleh ditegakkan dengan cara yang menekan rakyat secara tiba-tiba. Kerajaan Negeri seolah-olah meletakkan kesalahan kepada pemilik tanah kerana kononnya membayar kadar terlalu rendah sejak puluhan tahun.

“Situasi sebegini amat membimbangkan dan perlu diambil perhatian dengan serius,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua pada kenyataannya, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan, Kerajaan Negeri perlu melihat semula siapa yang mentadbir dan menyelia sistem tersebut selama ini di mana mungkin terdapat kelemahan data dan ketidakselarasan kategori.

“(Atau) kecuaian pentadbiran sejak 1994 atau 2002. Tanggungjawab membetulkannya terletak pada kerajaan, bukannya dengan menghukum rakyat.

“Rayuan tidak boleh dijadikan mekanisme utama membetulkan kelemahan sistem, keadilan tidak sepatutnya bermula selepas rakyat merayu,” bidas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Dalam prinsip tadbir urus Islam jelasnya, percukaian atau hasil yang dikutip mestilah berasaskan keadilan iaitu al-‘adl serta tidak membawa mudarat ‘la darar wa la dirar’.

“Kerajaan pemerintah sepatutnya mengelakkan kezaliman, termasuk beban kewangan yang melampaui kemampuan rakyat.

“Khalifah Umar al-Khattab RA pernah menegaskan, pungutan hasil mesti mengambil kira kemampuan dan maslahat masyarakat, bukan sekadar memenuhi keperluan perbendaharaan.

“Sebarang pelarasan cukai hendaklah dibuat secara berfasa, telus dan mengambil kira impak sebenar terhadap rakyat biasa, peniaga kecil serta institusi masyarakat,” katanya lagi.

Muhammad Fauzi membangkitkan hal berkenaan susulan tindakan Kerajaan Negeri mewartakan kadar baharu cukai tanah yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026 lalu, melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di Pulau Pinang.

Kadar cukai tersebut dinaikkan mengikut kategori tanah, perumahan, perindustrian, perniagaan, pertanian dan khas seperti rumah ibadat serta rumah kampung, dengan rebat 32.5 peratus pada 2026 dan 20 peratus pada 2027 dan 2028.

Berikutan itu beliau mendesak agar Kerajaan Negeri melaksanakan moratorium terhadap kenaikan ekstrem serta menetapkan had kenaikan tahunan yang munasabah.

Termasuk juga katanya, mengadakan audit bebas terhadap sistem dan data e-Tanah sebelum penguatkuasaan penuh diteruskan.

“Kembalilah kepada asas pemerintahan yang adil dan berperikemanusiaan kerana walaupun meningkatkan hasil negeri itu penting, tetapi kesejahteraan rakyat lebih utama.

“Sebuah kerajaan yang benar-benar berjiwa rakyat tidak akan membiarkan rakyat menanggung akibat kelemahan pentadbirannya sendiri,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 3/3/2026

- Advertisement -