Ahli Kongres AS cabar kesahihan perang Trump ke atas Iran

Kongres AS adalah satu-satunya badan di Amerika Syarikat yang boleh mengisytiharkan perang.
- Advertisement -

WASHINGTON: Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran bersama Israel mencetuskan perdebatan sengit di Capitol Hill, dengan beberapa ahli Kongres mempersoalkan kesahihan tindakan tersebut di sisi undang-undang.

- Advertisement -

Di bawah Perlembagaan AS, hanya Kongres mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perang.

Namun, Rumah Putih mempertahankan tindakan itu sebagai langkah yang sah di bawah kuasa presiden sebagai Panglima Tertinggi angkatan tentera.

Senator Tim Kaine pada Sabtu menggesa Kongres kembali bersidang segera bagi mempertimbangkan resolusi yang diperkenalkannya sejak Januari lalu.

Resolusi itu, lapor AFP, bertujuan memaksa presiden mendapatkan kelulusan Kongres sebelum terlibat dalam konflik ketenteraan dengan Iran.

“Trump telah melancarkan perang yang tidak perlu, bodoh dan haram terhadap Iran,” tulis Kaine di platform X sejurus operasi serangan ke atas Iran itu bermula.

Sementara itu, Senator Mark Warner, Pengerusi Demokrat dalam Jawatankuasa Perisikan Senat, menyatakan tiada bukti ancaman segera Iran terhadap Amerika Syarikat.

“Jika kita menyamakan ancaman terhadap Israel sebagai ancaman segera terhadap Amerika Syarikat, maka kita memasuki wilayah yang belum pernah diterokai,” katanya kepada media selepas taklimat keselamatan tertutup.

Sehubungan itu, tambah laporan AFP, perdebatan kini tertumpu kepada tafsiran War Powers Resolution yang diluluskan pada 1973, yang membenarkan presiden mengerahkan tentera tanpa kelulusan awal Kongres dalam situasi kecemasan, tetapi mengehadkan tempoh operasi kepada 60 hari tanpa kebenaran rasmi badan perundangan itu.

Rumah Putih dilaporkan sebelum ini telah memaklumkan bahawa lapan pemimpin tertinggi Kongres telah diberikan notis sebelum serangan dilancarkan.

Bagaimanapun, pengkritik berpendapat pentadbiran Trump gagal menunjukkan kewujudan ancaman segera yang membenarkan penggunaan kuasa kecemasan tersebut.

Penentangan terhadap tindakan ketenteraan Trump itu, tambah AFP, turut datang daripada beberapa Republikan.

Ahli Dewan Perwakilan, Thomas Massie mengumumkan beliau akan membentangkan rang undang-undang bersama wakil Demokrat, Ro Khanna untuk memaksa undian rasmi mengenai perang tersebut.

“Perlembagaan memerlukan undian. Wakil rakyat perlu direkodkan sama ada menyokong atau menentang perang ini,” kata Massie.

Namun, AFP melaporkan kebanyakan ahli Republikan dijangka menyokong presiden, dan sebarang resolusi yang diluluskan berkemungkinan berdepan veto.

Untuk mengatasi veto presiden, majoriti dua pertiga diperlukan di kedua-dua dewan, iaitu satu ambang yang sukar dicapai.

Sehubungan itu, lapor AFP lagi, konflik ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam ketegangan AS-Iran, malah menghidupkan semula perdebatan lama mengenai had kuasa eksekutif dalam hal ehwal ketenteraan.

Penganalisis berpendapat pertikaian ini berpotensi menjadi ujian penting terhadap keseimbangan kuasa antara Rumah Putih dan Kongres, di tengah landskap politik Washington yang semakin berpolar. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -