
KETIKA Konvensyen PKR Kedah pada bulan lepas Anwar berapi-api hendak jadikan Kedah sebagai kubu kuat PKR walaupun PH hanyalah dapat 3 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen. Tanpa berselindung dan menjaga hati Umno dan PAN yang telah lama bercita-cita untuk merebut kerusi Menteri Besar, pengumuman Kedah sebagai kubu kuat PKR telah menyentap Umno dan PAN.
Umno yang menyangka sejak awal gabungan PH-BN akan dapat membantu BN khususnya Umno untuk kembali menawan Kedah dan mengembalikan jawatan MB kepada Umno rupa-rupanya hanyalah helah dalih jambatan untuk PKR meluaskan tapak di Kedah.
Namun ada agenda sulit atau ‘blueprint’ (rencana) yang tidak didedahkan hasrat sebenar Anwar bercita-cita menjadikan Kedah sebagai kubu kuat PKR. Ia bukan sekadar motif politik semata-mata namun lebih jauh daripada itu ia berkaitan dengan penguasaan merentasi politik.
Apabila muncul naratif mahu menjadikan Kedah sebagai kubu kuat PKR, persoalannya bukan sekadar mengenai persaingan demokrasi biasa. Ia bukan lagi soal siapa menang pilihan raya atau siapa membentuk kerajaan negeri. Isunya lebih dalam, apakah ada agenda strategik yang lebih besar di sebalik percaturan ini?
Melalui wawasan jauh Sanusi untuk menjadikan The Greater Kedah dapat dicapai maka pelbagai perancangan strategik telah disusun demi manfaat kepada rakyat Kedah. Namun wawasan hebat Kedah itu dipandang serong dan negatif oleh pihak DAP yang menjadi tonggak kerajaan Pulau Pinang. DAP melihat wawasan The Greater Kedah sebagai ancaman terbesar kepada DAP tepatnya kepada negeri Pulau Pinang yang mereka kuasai.
Kedah hari ini bukan sekadar negeri jelapang padi. Ia simbol kebangkitan politik yang digelar sebagai ‘Gelombang Hijau’ fenomena yang menggugat dominasi politik pusat. Justeru, usaha menawan Kedah bukan hanya soal menambah kerusi, tetapi soal mematahkan momentum sebuah gelombang yang dilihat mengancam hegemoni politik tertentu.
Kedah menjadi antara pusat paling signifikan kepada kebangkitan politik alternatif yang mencabar naratif kerajaan pusat. Jika Kedah dapat ‘ditawan’, maka simbol psikologi ‘Gelombang Hijau’ akan runtuh.
Politik bukan hanya angka ia juga simbol. Dan Kedah adalah simbol. Menguasainya bermakna memadamkan sumber inspirasi kepada negeri-negeri lain. Ia strategi memutuskan akar sebelum pokok membesar.
Isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sering menjadi polemik sejarah dan perundangan. Apabila Kedah berada di bawah blok politik yang sama dengan kerajaan pusat, nada tuntutan itu boleh diredam.
Dalam politik, siapa memegang kuasa menentukan sejauh mana isu akan diangkat atau disenyapkan. Jika pentadbiran negeri selari dengan pusat, adakah suara tuntutan akan terus lantang? Atau akan tenggelam atas nama ‘kesepakatan kerajaan’?
Persoalan ini bukan teori konspirasi. Ia realiti politik kuasa.
Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dilihat sebagai pesaing langsung kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Sekiranya KXP direalisasikan, ia berpotensi mengubah landskap ekonomi Utara Semenanjung. Pusat logistik dan pelaburan sudah tentu akan beralih ke Kedah. Bayangkan Kedah kembali bangkit sebagai pusat perdagangan utama Asia Tenggara yang menjadi hub kargo udara antarabangsa penghubung perdagangan antara China dengan Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat.
Benar, projek mega sebegini beri impak dahsyat dan manfaat hebat kepada negara namun impak politik juga akan berikan advantage cukup besar kepada PAS sebagai kerajaan yang berjaya melonjakkan ekonomi negara menyaingi negara-negara Asia Tenggara lain terutamanya negara Singapura rakan politik strategik kepada DAP.
Kejayaan pelaksanaan KXP di Kedah akan memberi tanda aras kejayaan PAS bukan sahaja sebagai kerajaan negeri tetapi juga bakal kerajaan Pusat yang berjaya, namun pada masa yang sama ia adalah tanda kejatuhan PH khususnya DAP. Malah Kedah akan dilihat mudah menyaingi Pulau Pinang dalam pelbagai segi khususnya peningkatan ekonomi. Kerana itulah Sanusi menggelarkan projek KXP sebagai Economic Game Changer. Oleh itu penguasaan PAS di Kedah wajib disekat oleh PH.
Namun jika Kedah berada di bawah pengaruh politik yang sama dengan Pulau Pinang dan pusat, projek KXP ini boleh diperlahankan, dikaji semula, atau dihentikan atas pelbagai alasan teknikal dan kewangan. Persoalannya, adakah ini soal kebolehlaksanaan ekonomi semata-mata, atau persaingan geopolitik ekonomi wilayah? Sanggupkah rakyat Kedah melepaskan projek ekonomi ini lenyap terus dari Kedah? Daripada Game Changer kepada Game Over.
Kedah juga memiliki potensi sumber unsur nadir bumi (REE) yang bernilai tinggi dalam industri teknologi dan pertahanan. Dalam dunia yang sedang berebut mineral strategik, REE bukan lagi isu kecil. Perlu diingat Anwar pernah cuba-cuba untuk mendapatkan penguasaan REE di Kedah dengan membawa taikun Indonesia Riza Chalid masuk ke Kedah. Namun kekalahan teruk pada PRN2023 menyebabkan Anwar menangguhkan hasrat itu.
Kerana itulah PKR tetap terus bercita-cita tinggi untuk menguasai pentadbiran negeri bermakna mengawal kelulusan, konsesi dan dasar eksploitasi. Siapa mengawal negeri, mengawal sumber. Dalam konteks politik federalisme Malaysia, penguasaan negeri kaya sumber sering menjadi rebutan bukan kerana ideologi, tetapi kerana nilai ekonomi jangka panjangnya.
Bagi DAP, Kedah dan Perak adalah negeri sumber mentah kepada Pulau Pinang. Air mentah Kedah menjadi nadi kepada sebahagian industri di Pulau Pinang. Pasir, tanah dan hasil bumi lain juga menjadi komoditi penting. Pada masa ini syukurlah MB Perak proksi kuat DAP terus membantu menyalurkan apa jua keperluan Pulau Pinang. Setakat ini Perak adalah penyumbang utama pasir dan bekalan lain untuk pembinaan pulau buatan di Pulau Pinang.
Namun sekadar Perak sahaja masih belum cukup. Jika pentadbiran negeri Kedah lebih ‘mesra pusat’, rundingan mengenai harga air, konsesi pasir atau pengurusan sumber mungkin menjadi lebih lunak. Di sinilah kritikan muncul, adakah Kedah berisiko menjadi pembekal bahan mentah murah sementara nilai tambah dan keuntungan besar dinikmati Pulau Pinang.
Sudah tentu, penyokong agenda ini akan berhujah bahawa menguasai Kedah adalah sebahagian daripada proses demokrasi biasa. Setiap parti berhak bercita-cita menjadi dominan di mana-mana negeri.
Menyedari agenda sulit Anwar dan DAP ini, kerana itulah Sanusi sebagai pimpinan utama PN dan PAS di Kedah siap-siap menyambut hasrat PKR untuk berlawan politik dengan melaungkan amaran akan menjadikan Kedah sebagai kubur besar PKR dalam PRU16 nanti.
Dalam politik Malaysia yang sarat dengan persaingan wilayah dan kepentingan ekonomi silang negeri, setiap percaturan kuasa mempunyai implikasi lebih luas. Apabila agenda politik bersilang dengan sumber strategik, projek mega dan pertikaian sejarah, rakyat berhak bertanya, adakah ini perjuangan ideologi? Atau percaturan kuasa untuk mengawal geopolitik ekonomi utara tanah air?
Dalam politik, tidak ada gerak yang benar-benar naif. Setiap langkah ada harga. Persoalannya siapa yang akan membayar harga itu? Rakyat Kedah, atau pemain kuasa di puncak?
Realitinya Sanusi melalui PN dan PAS cuba menjadikan Kedah negeri maju, berdaya saing dan manfaat kepada setiap golongan sebaliknya Anwar dengan cita-cita politik dan agenda bersama DAP tidak langsung menunjukkan tanda-tanda wawasan pembangunan ekonomi jangka panjang untuk Kedah.
Jika ada yang berkata, Anwar serius untuk membangunkan Kedah dengan melantik Saifuddin dan Taufik sebagai menteri, ketahuilah itulah agenda katalis untuk merebut kuasa politik demi hasrat nafsu politik pihak tertentu.
“PKR berhasrat jadikan Kedah kubu kuat mereka. Kita nak maklum, silalah datang, tapi kami akan jadikan kubur untuk mereka,”
laung amaran dari Sanusi semasa di Kuala Kedah tempat perang musuh bisik.
KHALID HAMKA
Penganalisa Politik
Alor Setar – HARAKAHDAILY 3/3/2026
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1CDmyjmvS1/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











