
IPOH: Titik-titik hitam berdarah dari perang yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Republik Islam Iran hingga meletusnya konflik di Timur Tengah harus dilihat dalam konteks geopolitik.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham sehubungan itu menasihatkan umat Islam agar tidak terheret ke polemik perbezaan mazhab hingga berlaku tuduhan kafir kepada sesama Muslim.
“Sesiapa yang menuduh orang beriman dengan kafir, dosanya sama seperti membunuhnya,” ujarnya memetik hadis riwayat Al-Bukhari dalam menyampaikan nasihat tersebut.
Jelas beliau, kuasa Barat telah mencetuskan konflik ke dalam kalangan umat Islam atas nama mazhab yang membezakan antara Arab daripada Ajam, atau menaja kumpulan tertentu sebagai ‘buah catur’ perang proksi.
“Mereka untung berniaga senjata, umat Islam rugi berbunuhan sesama sendiri,” jelasnya menyeru semua pihak menyokong usaha menyatukan umat Islam daripada pelbagai aliran.
Menurut beliau, perbezaan mazhab sepatutnya diselesaikan melalui perbahasan ilmu tanpa memecahkan kesatuan umat dengan mengambil teladan Rasulullah SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj, yang dahulunya bergaduh dan berbunuhan selama ratusan tahun.
“Konflik terbaru di Iran perlu dilihat secara adil dari kaca mata geopolitik. Jangan kerana berbeza mazhab, kita membiarkan kumpulan syirik mengukuhkan kuasa mereka. Jika itu berlaku, projek memurtadkan wilayah umat Islam akan terus giat berjalan,” tegasnya.
Tegas beliau, Republik Islam Iran sedang diserang oleh musuh Islam ketika ini bukan kerana fahaman Syiah rakyat dan pemimpinnya, tetapi kerana kekuatan negara itu yang menjadi ancaman kepada AS-Israel.
“Jika Iran adalah negara Sunni yang kuat, ia tetap akan diserang. Matlamat mereka adalah menghancurkan Islam di atas muka bumi ini keseluruhannya, tidak kira Sunni, Syiah atau Khawarij, Ibadi,” katanya.
Terang Nurhafizul, sebahagian besar mazhab Syiah diiktiraf oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai ahli kiblat dan tuduhan takfiri tidak seharusnya berlaku secara mudah dalam kalangan umat Islam.
“Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: ‘Wahai kafir’, maka akan kembali (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya,” ujarnya memetik lagi hadis riwayat Al-Bukhari.
Menurut Nurhafizul, penguasaan Iran ketika ini berada dalam kalangan ahli kiblat, dengan penganut Syiah di negara itu dibenarkan menunaikan umrah dan haji di dua tanah haram serta solat di belakang imam-imam Sunni.
Tambah beliau, sejak kebelakangan ini kebanyakan mereka yang berfahaman Syiah menolak konfrontasi sesama Islam, walaupun diakui terdapat sesetengah mazhab Syiah lain masih terjebak dalam ekstremisme.
Berhujah tuduhan pemimpin Syiah membunuh Sunni, beliau menekankan kekuatan ketenteraan Iran mampu membantu bekas Presiden Syria, Basyar al-Asad mempertahankan kuasanya, namun Iran memilih untuk tidak berbuat demikian.
“Selain itu, kira-kira 30 peratus penduduk Iran adalah Sunni yang turut dijaga dengan baik oleh Republik Islam Iran,” katanya turut mengingatkan ancaman ideologi sekular di Iran pada era Shah Reza Pahlavi ditaja kuasa Barat untuk memurtadkan wilayah umat Islam.
Beliau juga mengenengahkan situasi di rantau Asia Tenggara khususnya Filipina dan Vietnam yang dahulunya wilayah Islam kini menjadi negara Kristian dan komunis.
“Manakala Temasik (kini Singapura) yang dahulunya 100 peratus wilayah Islam kini tinggal hanya 15 peratus penduduk Islam.Burma pula pernah dikuasai oleh Kerajaan Islam Arakan selama 250 tahun, namun kini umat Islam di sana diseksa.
“Satu per satu wilayah Islam bertukar menjadi wilayah kufur atau disesatkan dengan ideologi songsang hasil tajaan kuasa besar dunia,” katanya mengingatkan agar meneguhkan kesatuan Islam dan berwaspada agenda kuffar. – HARAKAHDAILY 2/3/2026











