Zakat hak asnaf, bukan wang politik, perlu akauntabiliti

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Zakat bukan wang politik dan bukan juga dana pentadbiran biasa, tetapi ia adalah hak asnaf yang wajib diurus dengan penuh integriti dan ketelusan, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah.

- Advertisement -

Katanya, sebagai sebuah institusi yang mengurus amanah umat Islam, sebarang dakwaan berkaitan dana zakat bukanlah isu kecil, sebaliknya menyentuh kepercayaan, maruah dan tanggungjawab agama.

“Kita menghormati proses siasatan dan prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Namun dalam masa yang sama, kerajaan negeri tidak boleh mengambil sikap defensif atau cuba meminimumkan isu ini.

“Apabila pengurusan zakat dipersoalkan, keutamaan mestilah kepada ketelusan menyeluruh, termasuk pendedahan laporan audit, mekanisme kelulusan agihan, dan garis pemisahan kuasa antara pentadbiran politik dan institusi agama,” tegas beliau pada kenyataannya di sini.

Kata Yusni lagi, dalam prinsip pentadbiran Islam, zakat adalah amanah yang berat sehingga Saidina Umar Al-Khattab RA pernah menegaskan sekiranya seekor kambing mati kelaparan di tebing Sungai Furat, beliau bimbang akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.

“Inilah standard akauntabiliti dalam Islam, bukan sekadar patuh prosedur, tetapi memastikan tiada ruang syubhah, salah guna atau konflik kepentingan. Pengurusan zakat juga mesti bebas daripada sebarang unsur boleh menjejaskan keyakinan umat,” ujarnya.

Beliau sekali gus mendesak agar satu audit bebas dan laporan penuh dibentangkan kepada umum demi memulihkan keyakinan pembayar zakat dan hak asnaf tidak terjejas.

Hal itu dibangkitkan beliau berikutan isu siasatan terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkaitan dakwaan salah guna dana zakat setelah perkara tersebut dibangkitkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri, tahun lalu.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri harus memahami bahawa dalam isu dana zakat, persepsi awam adalah sama penting dengan keputusan undang-undang.

Malah tegas beliau lagi, integriti institusi agama mesti dipelihara tanpa kompromi dan rakyat khususnya umat Islam di Pulau Pinang, berhak mendapat penjelasan yang telus serta  tuntas.

Terdahulu, Datuk Dr Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dilihat hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pagi ini.

Difahamkan kehadirannya itu berkaitan siasatan terhadap dakwaan salah guna dana zakat yang dikaitkan dengannya selepas seorang ADUN membangkitkan isu berkenaan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun lalu.

Menurut Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, siasatan itu bertujuan mengesahkan perkara berkenaan serta menentukan sama ada wujud unsur salah laku atau isu berkaitan tadbir urus. – HARAKAHDAILY 2/3/2026

- Advertisement -