
Suami isteri yang sengaja melakukan persetubuhan ketika sedang berpuasa sama ada puasa fardu atau puasa sunat maka batal puasa keduanya.
Dan haram hukumnya sengaja membatalkan puasa fardu sama ada dengan jimak atau dengan lainnya tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak dan berdosalah pelakunya sekalipun tiada keluar mani.
Berkata Syeikh Ramli:
(الْإِمْسَاكُ عَنْ الْجِمَاعِ) وَإِنْ لَمْ يُنْزِلْ بِالْإِجْمَاعِ
Ertinya: “(Yakni menahan dari melakukan jimak) sekalipun tidak keluar mani dengan ijmak ulamak.” (Kitab An-Nihayah)
Di samping berdosa merosakkan puasa Ramadan dengan jimak adalah turut diwajibkan pula ke atasnya membayar kafarah.
Berkata Imam Ibn Ruslan:
يكفر الْمُفْسد صَوْم يَوْم * من رَمَضَان إِن يطَأ مَعَ إِثْم
Ertinya: “Bayar kafarah oleh yang merosakkan puasa sehari daripada Ramadhan jika dia jimak serta berdosalah.” (Kitab Matan Zubad)
Adapun jimak pada waktu malam maka tiada larangan sama sekali sama seperti dibenarkan makan dan minum.
Firman Allah Taala:
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَآئِكُمْ
Ertinya: “Telah dihalalkan bagi kamu semua pada malam hari berpuasa melakukan jimak dengan isteri-isteri kamu.” (Al-Baqarah: 187)
Berkata Syeikh Ali As-Sobuni:
أي أبيحٍ لكم أيها الصائمون غشيان النساء في ليالي الصوم
Ertinya: “Maksudnya diharuskan bagi kamu sekalian wahai orang-orang yang berpuasa menggauli isteri-isteri pada segala malam-malam puasa.” (Kitab Tafsir Sofwah At-Tafasir)
Ketahuilah walaupun sudah halal sebab hubungan suami isteri namun Allah mengharamkan jimak ketika siang waktu sedang berpuasa sebagai suatu perintah daripada-Nya dan menjadi ujian ke atas hamba-Nya.
Siapa yang melakukannya adalah berdosa kerana melanggar larangan Allah dan membatalkan ibadah puasanya yang telah dikerjakan dan wajib pula membayar kafarah dengan sepakat ulamak.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:
اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى حُرْمَةِ الْوَطْءِ عَمْدًا عَلَى الصَّائِمِ فِي رَمَضَانَ، وَأَنَّهُ مُفْسِدٌ لِلصَّوْمِ، وَمُوجِبٌ لِلْكَفَّارَةِ، أَنْزَل أَوْ لَمْ يُنْزِلْ
Ertinya: “Telah sepakat oleh fuqahak atas haram bersetubuh dengan sengaja atas orang yang berpuasa pada bulan Ramadan dan perbuatannya itu membatalkan puasa dan mewajibkan bayar kafarah sama ada keluar mani atau tidak keluar.”
Jimak yang membatalkan puasa ialah jimak yang sengaja maka keluar dengan kata sengaja itu ialah jimak yang tidak disengajakan.
Berkata Imam Ibnu Al-Mulaqqin:
ومن أفسد يوماً من رمضان بجماع أثم به
Ertinya: “Dan barangsiapa merosakkan akan satu hari dari hari-hari Ramadan dengan jimak nescaya dia telah berdosa dengan sebabnya.” (Kitab At-Tazkirah)
Oleh itu jika jimak dengan sebab terlupa atau tersalah maka tidaklah membatalkan puasa dan tidak berdosa.
Berkata Syeikh Al-Ghamrawi:
فَلَا كَفَّارَة على نَاس إِذْ لَا إِفْسَاد فِيهِ
Ertinya: “Maka tiada kafarah atas yang lupa (melakukan jimak) kerana lupa itu tidak merosakkan pada puasa.” (Kitab As-Siraj Al-Wahhaj)
Kafarah jimak
Bagi kesalahan melakukan jimak di siang hari puasa Ramadan maka diwajibkan ke atas suami membayar kafarah dan wajib atas isterinya itu qada.
Berkata Imam Nawawi:
مَنْ أَفْسَدَ صَوْمَ يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ بِجِمَاعٍ تَامٍّ أَثِمَ بِهِ بِسَبَبِ الصَّوْمِ لَزِمَتْهُ الْكَفَّارَةُ وَبِهَذَا قَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد
Ertinya: “Barangsiapa yang merosakkan akan puasa pada suatu hari daripada Ramadan dengan jimak yang sempurna nescaya dia berdosa dengan sebab puasanya itu dan wajib atasnya membayar kafarah. Dengan inilah berkata oleh Imam Malik dan Abu Hanifah dan Ahmad dan Daud.” (Kitab Al-Majmu’)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya:
بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ مَا لَكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا فَقَالَ فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا قَالَ فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ وَالْعَرَقُ الْمِكْتَلُ قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ فَقَالَ أَنَا قَالَ خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ فَقَالَ الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا يُرِيدُ الْحَرَّتَيْنِ أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ
Ertinya: “Sedang kami duduk-duduk di sisi Nabi sollallahu alaihi wasallam tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata: Wahai Rasulullah! Binasa aku. Sabda Rasulullah: Apa yang telah berlaku atasmu? Kata lelaki itu: Aku telah menjimak isteriku sedangkan aku berpuasa.Sabda Rasulullah: Adakah kamu mempunyai hamba untuk dimerdekakan? Kata lelaki itu: Tidak ada. Sabda Rasulullah: Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut? Kata lelaki itu: Tidak mampu. Sabda Rasulullah: Adakah mampu kamu beri makan enam puluh orang miskin? Kata lelaki itu: Tidak. Lalu Rasulullah sollallahu alaihi wasallam duduk di situ dan kami juga duduk kemudian dibawa datang kepada Rasululllah satu bekas dari kurma. Lalu Rasulullah bersabda: Mana lelaki yang bertanya tadi? Kata lelaki itu: Saya wahai Rasulullah. Sabda Rasulullah: Ambil kurma ini dan sedekahkan kepada orang faqir. Kata lelaki itu: Demi Allah tidak ada keluarga yang lebih faqir dari keluarga aku. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam ketawa mendengar itu sehingga nampak gigi-gigi geraham baginda. Kalau begitu engkau berilah makan kaum keluargamu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ada menyebut peristiwa ini berlaku ketika puasa Ramadan.
قَالَ : إِنِّى وَقَعْتُ عَلَى أَهْلِى الْيَوْمَ وَذَلِكَ فِى رَمَضَانَ
Ertinya: “Kata lelaki itu: Aku telah menjimak isteriku pada siang hari dan yang demikian itu pada bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
أَنَّ رَجُلًا أَفْطَرَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعِتْقِ رَقَبَةٍ أَوْ صِيَامِ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعِينَ أَوْ إطْعَامِ سِتِّينَ مِسْكِينًا
Ertinya: “Bahawasanya seorang lelaki telah berbuka dengan jimak pada bulan Ramadhan lalu Nabi sollallahu alaihi wasallam menyuruhnya merdekakan hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang msikin.” (Hadis Imam Syafie dalam Al-Uum)
Berkata Dr Mustafa Al-Khin:
موجب الكفارة هو إفساد صوم يوم من أيام رمضان بجماع بشرط أن يكون المجامع ذاكراً لصومه، عالماً بالحرمة، غير مترخص بالسفر
Ertinya: “Yang mewajibkan kafarah itu ialah merosakkan puasa pada satu hari dari hari-hari Ramadan dengan jimak dengan syarat bahawa adalah orang yang melakukan jimak itu sedar dia sedang berpuasa dan tahu tentang haramnya selain dari orang yang diberi keringanan dengan sebab musafir.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
Tertib kafarah
Wajib atas lelaki yang merosakkan puasa Ramadan dengan jimak itu membayar kafarah dengan mengikut tertib yaitu jika dia tidak mampu merdekakan hamba maka wajib dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak mampu berpuasa maka wajib dia beri makan 60 orang miskin dan tidak boleh dia melangkah tertib tersebut melainkan jika dia lemah dari melakukannya. Dan bagi setiap seorang miskin itu diberi secupak makanan yang mengenyangkan di negeri itu.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:
أنواع الكفارة ثلاثة: عتق، وصيام، وإطعام، مثل كفارة الظهار والقتل الخطأ في الترتيب عند الجمهور، فإن عجز عن العتق بأن لم يجد رقبة فصيام شهرين متتابعين، فإن لم يستطع صومهما أطعم ستين مسكيناً
Ertinya: “Jenis-jenis kafarah itu ada tiga yaitu merdeka hamba dan puasa dan beri makan yaitu seperti kafarah zihar dan membunuh dengan tersalah pada tertibnya di sisi jumhur ulamak. Maka jika dia lemah dari merdekakan hamba seperti tidak ada hamba maka hendaklah dia puasa dua bulan berturut-turut kemudian jika dia tidak mampu berpuasa maka hendaklah dia beri makan 60 orang miskin.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Bermula kafarah kesalahan jimak ketika sedang puasa Ramadan ialah tiga perkara:
1. Memerdekakan hamba sahaya yang beriman.
2. Berpuasa sebanyak dua bulan berturut-turut.
Oleh kerana itu jika dia tidak berpuasa berturut hari selama dua bulan sebab terlupa niat misalnya maka wajiblah atasnya berpuasa dari awal semula dua bulan berturut-turut.
Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi:
فإن أفسد يوما ولو اليوم الأخير ولو بعذر كنسيان نية وسفر ومرض استأنف الشهرين
Ertinya: “Maka jika dia rosakkan puasanya satu hari sekalipun pada hari yang terakhir dan walaupun dengan uzur seperti terlupa berniat atau kerana musafir atau sakit nescaya hendaklah dia memulakan kembali dari awal akan dua bulan.” (Kitab I’anah At-Talibin)
3. Memberi makan kepada enam puluh orang miskin yaitu setiap seorang miskin diberinya secupak makanan mengenyangkan dalam negeri yang dia tinggal itu.
Jika hanya ada tiga puluh orang miskin maka diberinya setiap seorang miskin akan dua cupak makanan.
Dan jika ada seorang miskin di negerinya maka diberikan kesemua 60 cupak makanan kepadanya.
Jika tidak mampu bayar kafarah
Kafarah hendaklah dibayar dengan tertib yakni jika tidak mampu yang pertama barulah harus dia membayar dengan yang kedua kemudian yang ketiga.
Jika masih belum mampu maka jadilah ia sebagai hutang di bawah tanggungannya yang apabila dia mampu pada masa hadapan maka wajib atasnya membayarnya.
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori:
(وَإِذَا عَجَزَ) عَنْ جَمِيعِ خِصَالِ الْكَفَّارَةِ ثَبَتَتْ فِي ذِمَّتِهِ
Ertinya: “Dan apabila lemah seorang itu dari membayar sekalian jenis kafarah itu nescaya tetaplah kafarah itu di bawah tanggungannya.” (Kitab Asnal Matalib)
Tersebut pada Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji:
الكفارة التي تجب بإفساد الصوم هي عتق رقبة مؤمنة، أي نفس رقيقة ذكراً كانت أم أنثى، فإن لم يجد، أو لم يستطيع، فصيام شهرين متتابعين، فإن لم يستطع أيضا فإطعام ستين مسكيناً لكل مسكين مد من غالب قوت البلد. فإن عجز عن الكل ثبتت الكفارة في ذمته حتى يقدر على خصلة منها
Ertinya: “Bermula kafarah yang wajib atas orang yang merosakkan puasa Ramadan itu ialah memerdekakan seorang hamba yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Kemudian jika dia tidak dapat akan hamba atau dia tidak mampu maka wajib dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Kemudian jika dia tidak mampu berpuasa maka wajib dia memberi makanan kepada enam puluh orang miskin bagi setiap orang miskin itu secupak makanan yang mengenyangkan di negeri itu. Maka jika dia lemah dari kesemuanya tetaplah kafarah itu di bawah tanggungannya sehingga masa dia berkuasa atau menjelaskan satu daripadanya.”
Bermula makanan yang mengenyangkan di negeri kita ini ialah beras.
Syarat diwajibkan kafarah
Menurut ulama-ulama mazhab Syafie diwajibkan membayar kafarah ialah dengan syarat-syarat berikut:
1. Dia berpuasa pada hari tersebut dan puasanya sah.
Maka jika dia tidak berpuasa pada hari itu seperti terlupa niat pada malamnya lalu melakukan jimak maka tidak kena kafarah sekalipun dia berdosa dengan jimaknya itu kerana orang yang terlupa niat itu tidak sah puasanya dan wajib dia imsak dari melakukan perkara yang membatalkan puasa.
Berkata Imam As-Syairazi:
إذَا نَسِيَ النِّيَّةَ وَجَامَعَ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ فَلَا كَفَّارَةَ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ بِلَا خِلَافٍ لِأَنَّهُ لَمْ يُفْسِدْ بِهِ صَوْمًا
Ertinya: “Apabila seorang itu terlupa berniat kemudian dia jimak pada hari tersebut nescaya tidak ada kafarah pada demikian hari tanpa khilaf kerana sungguhnya dia tidak dikira merosakkan puasa dengan jimak.” (Kitab Al-Muhazzab)
2. Jimak itu dilakukan dengan sengaja bukan terlupa atau tersalah kerana dikiaskan dengan hadith terlupa makan dan minum tidak membatalkan puasa.
Berkata Imam Nawawi:
فلا كفارة على ناس ولا مفسد غير رمضان أو بغير الجماع
Ertinya: “Maka tiada kafarah atas orang yang lupa dan tiada kafarah atas orang yang merosakkan puasanya dengan jimak pada selain Ramadan atau merosakkan puasanya (pada Ramadan) dengan selain jimak.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Berkata Dr Mustafa Al-Bugha:
فمن فعل ذلك ناسياً للصوم، أو جاهلاً بالحرمة، أو أفسد به صوماً غير صوم رمضان، أو أفطر معتمداً ولكن بغير الجماع، أو كان مسافراً سفراً يخوله الإفطار فجامع، فلا كفارة عليه، وإنما عليه القضاء فقط
Ertinya: “Maka barangsiapa melakukan yang demikian itu (jimak) dalam keadaan dia lupa sedang berpuasa atau dia jahil tentang keharamannya atau dia merosakkan selain puasa Ramadan atau sengaja berbuka dengan perkara selain jimak atau adalah dia sedang musafir dengan musafir yang membolehkan berbuka kemudian jimak ia maka tidak ada kafarah atasnya hanya diwajibkan atasnya qada sahaja.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
3. Tahu tentang diharamkan jimak pada ketika puasa Ramadan.
Jika seorang itu tidak tahu jimak itu haram kerana baru memeluk Islam maka dimaafkan dan tiada kena kafarah.
Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri:
أن يكون عالماً بالتحريم، وليس له عذر مقبول شرعاً في جهله، فلو صام وهو قريب العهد بالإسلام، أو نشأ بعيداً عن العلماء، وجامع في هذه الحالة لم يبطل صومه أيضاً
Ertinya: “Bahawa adalah dia tahu diharamkan jimak dan dia tidak dimaafkan sebab jahilnya itu pada syarak. Maka jika seorang yang puasa yang baru masuk Islam atau tinggal di negeri yang jauh dari ulamak dan melakukan jimak maka pada keadaan ini tidak batal puasanya juga.” (Kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah)
Tetapi jika seorang itu tahu diharamkan jimak ketika puasa Ramadan tetapi dia tidak tahu wajib bayar kafarah nescaya wajib atasnya bayar kafarah.
Berkata Imam Nawawi:
وَلَوْ قَالَ عَلِمْتُ تَحْرِيمَهُ وَجَهِلْتُ وُجُوبَ الْكَفَّارَةِ لَزِمَتْهُ الْكَفَّارَةُ بِلَا خِلَافٍ ذَكَرَهُ الدَّارِمِيُّ وَغَيْرُهُ وَهُوَ وَاضِحٌ
Ertinya: “Dan kalau seorang itu berkata: Aku tahu tentang haramnya jimak itu tetapi aku tidak tahu tentang wajibnya kafarah nescaya wajib atasnya kafarah tanpa khilaf. Telah menyebutnya oleh Imam Ad-Darimi dan lainnya dan iaitulah yang jelas.” (Kitab Al-Majmu’)
4. Pada puasa Ramadan sahaja.
Maka tidak ada kafarah pada puasa wajib yang lain seperti puasa qada atau nazar. Ini adalah kerana kewajipan kafarah itu ialah sebab menghormati bulan Ramadan.
Berkata Imam Nawawi:
لَوْ جَامَعَ فِي صَوْمِ غَيْرِ رَمَضَانَ مِنْ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ غَيْرِهِمَا فَلَا كَفَّارَةَ كَمَا سَبَقَ وَبِهِ قَالَ الْجُمْهُورُ
Ertinya: “Kalau seorang itu jimak di dalam puasa yang selain puasa Ramadan sama ada puasa qadha atau puasa nazar atau lain dari keduanya maka tidak ada kafarah sebagaimana telah lalu dengannya dan dengannyalah berkata oleh jumhur ulamak.” (Kitab Al-Majmu’)
Berkata Syeikh Ad-Damiri:
(ولا مفسد غير رمضان) كالتطوع والنذر والقضاء والكفارة؛ لأن النص ورد في رمضان
Ertinya: “Dan tiada kena kafarah atas orang yang merosakkan puasa selain Ramadan seperti puasa sunat dan puasa nazar dan puasa qada dan puasa kafarah kerana sungguhnya nas yang datang hanyalah pada puasa Ramadan.” (Kitab An-Najm Al-Wahhaj)
5. Dia adalah orang yang wajib berpuasa.
Maka tidak ada kafarah ke atas orang yang tidak wajib berpuasa seperti orang sakit atau musafir atau orang yang sangat tua tiada mampu berpuasa.
6. Dia membatalkan puasanya dengan jimak tersebut.
Adapun jika puasanya telah batal dengan sebab yang lain maka tidak dikenakan kafarah sekalipun berdosa ia dengan perbuatan jimaknya itu seperti seorang yang sengaja makan dan minum dahulu sebelum melakukan jimak.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:
عَدَمُ وُجُوبِ الْكَفَّارَةِ بِتَعَمُّدِ الأْكْل وَالشُّرْبِ وَنَحْوِهِمَا فِي نَهَارِ رَمَضَانَ. وَإِلَيْهِ ذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ ، وَبِهِ قَال سَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ وَالنَّخَعِيُّ وَابْنُ سِيرِينَ وَحَمَّادٌ وَدَاوُدُ
Ertinya: “Tiada wajib kafarah dengan sengaja makan dan minum dan seumpama keduanya pada siang hari Ramadan. Dan inilah pendapat ulama mazhab Syafie dan ulama mazhab Hanbali. Dan ialah juga pendapat Said bin Jubair dan An-Nakhaie dan Ibnu Sirrin dan Hammad dan Daud.”
7. Benar-benar terjadi jimak iaitu tenggelam sekurangnya kepala zakar dalam faraj isterinya sekalipun sesaat sahaja dan sekalipun tidak keluar mani.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:
ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ إِلَى أَنَّ جِمَاعَ الصَّائِمِ فِي نَهَارِ رَمَضَانَ عَامِدًا مُخْتَارًا بِأَنْ يَلْتَقِيَ الْخِتَانَانِ وَتَغِيبَ الْحَشَفَةُ فِي أَحَدِ السَّبِيلَيْنِ – مُفْطِرٌ يُوجِبُ الْقَضَاءَ وَالْكَفَّارَةَ
Ertinya: “Telah berjalan oleh jumhur fuqahak kepada bahawa jimak orang yang berpuasa pada siang Ramadan dengan sengaja dan tidak dipaksa yaitu berlaku bertemu dua tempat khitan dan tenggelam hasyafah zakar pada faraj adalah membatalkan puasa dan mewajibkan qada dan kafarah.”
Adapun selain dari jimak seperti mengeluarkan mani atau berpeluk atau bercium maka tidak dikenakan kafarah sekalipun sampai kepada membatalkan puasa.
Tersebut pada Kitab Fathul Muin:
ويجب على من أفسده أي صوم رمضان بجماع أثم به لأجل الصوم لا باستمناء وأكل
Ertinya: “Dan wajib (kafarah) atas yang merosakkan puasa Ramadan dengan jimak yang berdosa ia dengan sebabnya itu kerana puasa itu dan tidak wajib kafarah dengan sebab mengeluarkan mani dan tidak wajib kafarah dengan sebab makan.”
Akan tetapi sengaja mengeluarkan mani itu membatalkan puasa lagi haram hukumnya.
Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi:
ويفطر باستمناء، وهو استخراج المني بغير جماع حراما كان كإخراجه بيده، أو مباحا كإخراجه بيد حليلته
Ertinya: “Dan membatalkan puasa dengan sebab istimna’ iaitu mengeluarkan mani tanpa jimak samada dengan cara haram seperti mengeluarkannya dengan tangannya atau cara harus seperti mengeluarkan maninya dengan tangan isterinya.” (Kitab I’anah At-Talibin)
8. Berlaku kemasukkan zakar pada kemaluan sahaja iaitu faraj atau dubur sekalipun tidak keluar mani.
Tidak wajib kafarah jika berlaku kemasukan pada selain dari keduanya. Dan begitu juga tidak wajib kafarah dan tidak membatalkan puasa dengan hanya bersentuh zakar dan faraj.
Dan tidak wajib kafarah dengan memasukkan selain zakar seperti jari atau siku atau seumpamanya.
Akan tetapi memeluk isteri atau menciumnya kemudian keluar mani maka batal puasanya sekalipun tidak dikenakan kafarah.
Berkata Imam Nawawi:
الْمَنِيُّ إِذَا خَرَجَ بِالِاسْتِمْنَاءِ، أَفْطَرَ، وَإِنْ خَرَجَ بِمُجَرَّدِ فِكْرٍ وَنَظَرٍ بِشَهْوَةٍ، لَمْ يُفْطِرْ، وَإِنْ خَرَجَ بِمُبَاشَرَةٍ فِيمَا دُونَ الْفَرْجِ، أَوْ لَمْسٍ أَوْ قُبْلَةٍ، أَفْطَرَ. هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ، وَبِهِ قَالَ الْجُمْهُورُ
Ertinya: “Apabila keluar mani dengan sengaja mengeluarkannya maka batal puasa. Dan jika keluar mani sebab semata-mata berfikir dan melihat dengan syahwat maka tidak batal puasaya. Dan jika keluar mani dengan bersentuhan pada anggota selain faraj atau menjamah atau mencium maka membatalkan puasa. Inilah pendapat mazhab dan denganya berkata oleh jumhur ulamak.” (Kitab Raudhah At-Talibin)
Hukum jimak ketika puasa qada Ramadan
Jumhur ulama tidak mewajibkan kafarah ke atas orang yang merosakkan puasa qada Ramadan dengan jimak kerana berlainan dengan puasa tunai Ramadan iaitu dikerjakan dalam bulan yang dimuliakan maka qadha Ramadan tidak dilakukan dalam bulan tersebut.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:
فلا كفارة على من أفطر في قضاء رمضان عند الجمهور
Ertinya: “Maka tiada kafarah atas orang yang membatalkan puasa qadha Ramadan di sisi jumhur ulamak.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Dan berkata Syeikh Ahmad Syarif An-Nu’san:
اتَّفَقَ جُمهورُ الفُقَهاءِ على أنَّهُ لَيسَ في الفِطْرِ عَمْداً في قَضاءِ رَمَضانَ كَفَّارَةٌ، لأنَّ زَمَنَ القَضاءِ لَيسَ لهُ حُرمَةٌ كَحُرمَةِ شَهرِ رَمَضانَ.
Ertinya: “Telah sepakat oleh jumhur fuqahak atas sungguhnya tidak dikenakan kafarah bagi orang yang sengaja membatalkan puasa qada Ramadan. Ini adalah kerana zaman qada adalah tidak sama kehormatannya seperti kehormatan bulan Ramadan.”
Beberapa persoalan
Kafarah hanya diwajibkan membayarnya ke atas suami sahaja tidak wajib ke atas isteri sekalipun isteri yang mengajak suaminya melakukan jimak dan atas isteri tersebut hanya wajib qada sehari puasanya yang batal itu.
Berkata Imam Ar-Rafie:
وَأَصَحُّهُمَا : أنه يختص الزَوْج بِلُزُومِ الكَفَّارَة. واحتجوا له بأُمُورٍ : أحدهما : أن النبي صلى الله عليه وسلم لم يأمر الأَعرَابِيَّ الَّذِي وَاقَعَ إِلاَّ بِكَفَّارَةٍ وَاحِدَةٍ
Ertinya: “Dan pendapat yang paling sahih dari dua pendapat ialah hanya ditentukan bagi lelaki sahaja membayar kafarah dan mereka berhujjah dengan beberapa dalil yang salah satunya sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam tidak menyuruh lelaki badwi yang menjimak isterinya itu melainkan membayar satu kafarah sahaja.” (Kitab Al-‘Aziz Syarah Al-Wajiz)
Dan berkata Imam Nawawi:
قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ الصَّحِيحَ مِنْ مَذْهَبِنَا أَنَّهُ لَا يَجِبُ عَلَى الْمَرْأَةِ كَفَّارَةٌ أُخْرَى وَبِهِ قَالَ أَحْمَدُ
Ertinya: “Dan sungguhnya telah kami sebut bahawa pendapat yang sahih dari mazhab kami bahawasanya tidak ada kafarah atas isteri dan dengannyalah telah berkata oleh Imam Ahmad.” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)
Berkata Imam Al-‘Imrani As-Syafie:
تجب الكفارة على الرجل وحده، وهو الصحيح لأن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أمر الذي جامع في نهار شهر رمضان بالعتق
Ertinya: “Kafarah hanya wajib atas suami seorang sahaja dan ialah pendapat yang sahih dari kerana sungguhnya Nabi sollalahu alaihi wasallam menyuruh dengan lelaki yang menjimak pada siang Ramadan itu memerdekakan hamba.” (Kitab Al-Bayan)
Jika suami menjimak isterinya dua atau tiga kali atau lebih tetapi pada hari yang sama maka dia hanya dikenakan satu kafarah sahaja sekalipun dosanya berulang dengan berulang jimak.
Dan jika suami menjimak isterinya pada setiap hari maka wajib atas suami membayar kafarah sebanyak satu kafarah untuk satu hari. Yakni jika suami merosakkan puasa Ramadan dengan jimak sebanyak dua kali pada hari yang berlainan maka wajib atas suami itu membayar dua kali kafarah.
Berkata Imam Syafie r.a.:
وَإِنْ جَامَعَ يَوْمًا فَكَفَّرَ ثُمَّ جَامَعَ يَوْمًا فَكَفَّرَ
Ertinya: “Dan jika dia jimak akan satu hari maka hendaklah dia bayar kafarah kemudian dia jimak pada satu hari lagi maka hendaklah dia bayar kafarah.” (Kitab Al-Uum)
Berkata Dr Mustafa Al-Khin:
وكذلك يجب أن يعلم أن الكفارة، تتعدد، وتتكرر بتكرر الأيام التي أفطرها في رمضان بالجماع
فإذا جامع في يومين من رمضان لزمه – مع القضاء – كفارتان، وإذا جامع في ثلاثة أيام، لزمه، مع القضاء، ثلاث كفارات، وهكذا
Ertinya: “Dan begitu juga wajiblah diketahui bahawa kafarah itu berbilang ia dan berulang ia dengan berulangnya hari-hari yang dia rosakkan puasa Ramadan dengan sebab jimak. Maka apabila seorang itu jimak ia pada dua hari daripada Ramadan nescaya wajib atasnya dua kali kafarah serta qada. Dan jika dia jimak pada tiga hari nescaya wajib atasnya tiga kali kafarah serta qada dan begitulah seterusnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
Orang sedang melakukan jimak dekat waktu subuh kemudian masuk waktu subuh lalu dia berhenti maka sah puasanya dan tidak dikenakan kafarah.
Jika sedar waktu subuh sudah masuk tetapi masih diteruskan jimak walau pun sesaat maka batal puasanya dan wajib membayar kafarah atas suami dan qada atas isteri.
Orang yang salah sangka bahawa waktu subuh belum masuk maka tidak batal puasanya dan tidak dikenakan kafarah kerana dia tidak berdosa dengan tersalahnya itu.
Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:
وَكَذَا لَا كَفَّارَة على من ظن بَقَاء اللَّيْل فَبَان نَهَارا لانْتِفَاء الاثم
Ertinya: “Dan seperti itu juga tiada kafarah atas seorang yang zhan (kuat sangkaan) masih malam maka ternyata sudah siang kerana ternafi dosa.” (Kitab Kifayatul Akhyar)
Jika suami terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu melakukan jimak namun isterinya sedar sedang berpuasa tetapi isterinya mendiamkan sahaja sehingga selesai jimak maka isteri sahaja yang berdosa dan batal puasanya manakala suami tidak berdosa dan tidak batal puasanya dan tidak kena kafarah.
Jika suami pula yang sedar sedang berpuasa manakala isterinya tidak sedar maka batal puasa suami tidak batal puasa isteri dan wajib atas suami kafarah.
Helah batalkan puasa untuk jimak
Hukum berbuat helah dengan membatalkan puasa terlebih dulu dengan makan dan minum sebelum jimak supaya tidak kena atasnya kafarah adalah haram dan dosa besar sekalipun terlepas ia dari kafarah.
Dia berdosa sebab membatalkan puasa tanpa uzur dan berdosa kerana melakukan jimak setelah melakukan helah dan berdosa kerana berbuat helah itu sendiri.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 2/3/2026











