
PERBINCANGAN awam mutakhir berhubung peranan Majlis Syura Ulamak, Mursyidul Am dan Presiden PAS wajar ditangani secara berfakta serta berpandukan Perlembagaan PAS dan tradisi syura yang menjadi asas perjuangan parti sejak penubuhannya. PAS bukan sekadar parti politik, sebaliknya sebuah harakatul ummah yang digerakkan melalui sistem kepimpinan yang tersusun, dengan pembahagian tugas yang jelas dan saling melengkapi.
Perlembagaan PAS memperuntukkan secara nyata kedudukan setiap institusi kepimpinan. Fasal 8(6) menetapkan Mursyidul Am sebagai Ketua Majlis Syura Ulamak, manakala keanggotaan Majlis Syura itu sendiri merangkumi wakil 4 AJK PAS. Termasuk Presiden salah seorang. Ini menunjukkan bahawa Majlis Syura Ulamak bukan entiti terpisah daripada kepimpinan parti, sebaliknya sebuah badan kolektif yang menggabungkan kepimpinan ulama dan pentadbiran dalam satu struktur syura.
Dalam masa yang sama, Fasal 39(1) Perlembagaan PAS memperuntukkan bahawa Presiden yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran, gerakan dan keseluruhan kegiatan parti.
Pembahagian peranan ini dirangka dengan jelas bagi memastikan kesepaduan kepimpinan serta kelancaran pengurusan parti tanpa sebarang pertindihan kuasa.
Majlis Syura Ulamak berperanan memastikan dasar perjuangan PAS kekal selari dengan syariat Islam dan Perlembagaan parti.
Sekiranya Ucapan Dasar Presiden bertentangan dengan Islam, maka Majlis Syura Ulamak mempunyai autoriti untuk menghurai dan membuat ketetapan muktamad demi menjaga kejelasan hala tuju perjuangan.
Jawatankuasa PAS Pusat pula bertanggungjawab mengurus operasi dan merangka strategi parti bagi menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan di semua peringkat. Sekiranya strategi yang dirancang didapati bercanggah dengan dasar yang telah ditetapkan, Majlis Syura Ulamak berperanan menegur atau menasihati agar perjalanan parti kekal di atas landasan yang betul.
Sehubungan itu, PAS Perak menyeru seluruh ahli dan penyokong agar tidak terperangkap dengan polemik yang tidak berasas sehingga mengalihkan fokus daripada keutamaan sebenar perjuangan. Tumpuan PAS ketika ini ialah memperkukuh gerak kerja jemaah, memperkemaskan jentera parti dan terus berkhidmat kepada rakyat, di samping bersiap siaga menghadapi pilihan raya dengan disiplin, kesatuan dan kejelasan hala tuju.
PAS akan terus komited memimpin ummah dengan pendekatan Islam yang menyeluruh, berpaksikan syura dan berorientasikan penyelesaian kepada permasalahan rakyat.
USTAZ AKMAL KAMARUDIN
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak
Ahli Dewan Negeri Selama – HARAKAHDAILY 29/1/2026











