
KUANTAN: PAS Pahang membantah keputusan Kabinet yang membenarkan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memohon kemasukan ke universiti awam dengan hanya memenuhi syarat kepujian Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, keputusan itu membuka ruang kepada pengiktirafan UEC secara tidak langsung dan bercanggah dengan kerangka Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila pengumuman berhubung perkara tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan bukannya oleh Menteri Pendidikan atau Menteri Pendidikan Tinggi sekali gus menimbulkan persoalan mengenai campur tangan politik dalam dasar pendidikan negara.
“Ini mengesahkan bahawa agenda pendidikan negara sedang ditentukan oleh kepentingan politik DAP, bukan melalui saluran rasmi dan bertanggungjawab.
“Kami menolak sebarang bentuk pengiktirafan UEC sama ada secara langsung atau terselindung, kerana ia mencabar kedaulatan dasar pendidikan kebangsaan dan mewujudkan ketidakadilan yang ketara dalam sistem kemasukan universiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Aireroshairi menegaskan, cadangan tersebut turut mencetuskan ketidakseimbangan ketara dalam sistem kemasukan universiti awam apabila pelajar aliran SPM diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran termasuk subjek teras seperti Matematik dan Sains, manakala lepasan UEC hanya perlu lulus dua subjek SPM.
“Bagaimana Kementerian Pendidikan Tinggi mahu mengira merit kemasukan jika majoriti subjek tidak diambil dalam SPM?
“Jawapannya jelas keputusan UEC akan digunakan juga, dan ini bermakna pengiktirafan UEC secara senyap tanpa kelulusan rakyat. Inilah pengkhianatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan,” ujarnya.
Beliau menekan bahawa PAS Pahang turut mengingatkan bahawa UEC tidak pernah diiktiraf kerajaan kerana berada di luar Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.
“Menteri Pendidikan sebelum ini pernah menyatakan pendirian bahawa sijil tersebut bercanggah dengan dasar pendidikan negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Aireroshairi merujuk pandangan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong yang berpandangan UEC tidak wajar diiktiraf kerana tidak selari dengan prinsip pendidikan kebangsaan, walaupun beliau bukan daripada latar belakang Melayu.
“Jika pakar bukan Melayu pun nampak bahaya ini, mengapa kepimpinan Melayu dalam kerajaan masih sanggup berkompromi?” soalnya.
Tambah beliau, isu tersebut bukan sekadar soal kemasukan universiti, tetapi melibatkan kedaulatan dasar pendidikan dan masa depan identiti nasional.
Katanya lagi, apabila Bahasa Melayu dan Sejarah dijadikan sekadar syarat minimum, ia berisiko menggalakkan pembelajaran ala kadar dan menjejaskan matlamat pembinaan jati diri nasional.
“Hari ini syaratnya lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, esok syarat itu akan digugurkan dan kemasukan ke universiti awam hanya bergantung kepada UEC semata-mata.
“Sejarah menunjukkan pengiktirafan dasar sering bermula dengan kompromi kecil sebelum berkembang menjadi penerimaan penuh,” ungkap beliau.
Sehubungan itu, PAS Pahang mendesak kerajaan memberi penjelasan terbuka berhubung dasar berkenaan melalui Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri serta menggesa semua pihak menolak sebarang bentuk pengiktirafan UEC, sama ada secara langsung atau berperingkat.
“Prinsip kita jelas, semua aliran pendidikan mesti tertakluk kepada sistem peperiksaan nasional yang sama iaitu SPM. Pelajar bebas belajar dalam apa jua bahasa atau aliran, tetapi kemasukan ke universiti awam mesti berasaskan piawaian yang seragam dan adil,” tegasnya lagi.
Beliau turut memberi peringatan agar sistem pendidikan kebangsaan tidak dikorbankan demi kepentingan politik mana-mana pihak.
“Jangan khianati sistem pendidikan kebangsaan demi kepentingan politik DAP. Jangan jual maruah pendidikan Melayu Islam demi kuasa.
“Rakyat Pahang sedang memerhati, dan kami tidak akan diam apabila masa depan anak bangsa dipertaruhkan,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan akan meminda dasar sedia ada bagi membolehkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan menduduki hanya kertas Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM.
Perkara itu dimaklumkan Loke, ketika berucap pada majlis penyerahan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina di Sekolah Menengah Pay Fong, Melaka.
Menurut beliau, mesyuarat Kabinet memutuskan bahawa pelajar yang memperoleh kepujian dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut layak memohon kemasukan ke universiti awam.
Beliau turut menjelaskan bahawa peraturan sedia ada mewajibkan calon menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran bagi menduduki peperiksaan SPM.
Sehubungan itu, katanya, KPM akan menyemak semula dasar berkenaan bagi membolehkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan, termasuk sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan sekolah agama, menduduki hanya dua mata pelajaran tersebut. – HARAKAHDAILY 29/1/2026











