
KENYATAAN ‘berlagak’ terbaharu Senator Amerika Syarikat (AS) dari Texas, Ted Cruz, yang menggesa Washington membekalkan senjata kepada ‘penunjuk perasaan’ di Iran, dilihat sebagai bukti jelas dasar campur tangan imperialis AS yang berterusan dan berisiko mencetuskan perang serantau berskala besar di Asia Barat.
Ia juga bukan sekadar kenyataan tidak bertanggungjawab tetapi membuka tirai kepada hakikat yang sering disembunyikan media Barat selama ini bahawa AS bertindak sebagai ‘polis global’ yang menggunakan keganasan, proksi bersenjata dan propaganda media untuk menundukkan negara-negara lain yang tidak ‘selari’ dengan pendiriannya.
Gesaan Cruz itu dibuat ketika usaha diplomatik antarabangsa sedang digerakkan bagi meredakan ketegangan antara Tehran dan Washington.
Namun, Cruz secara terbuka menyatakan bahawa AS perlu membekalkan senjata kepada elemen-elemen gerakan kerajaan di Iran dengan alasan kononnya demi keselamatan AS.
Apa yang digambarkan sebagai ‘penunjuk perasaan’ itu, menurut penilaian rasmi Iran, telah berubah menjadi pemberontakan bersenjata terancang antara 8 hingga 14 Januari 2026, selepas bermula sebagai protes ekonomi akibat inflasi dan tekanan hidup.
Rusuhan tersebut melibatkan penggunaan senjata api termasuk pistol, senapang Kalashnikov, senapang ringan Uzi buatan Israel, senapang penembak tepat, serta bahan letupan seperti koktel Molotov dan bom tangan gred tentera.
Serangan mensasarkan balai polis, kemudahan tentera, bangunan kerajaan serta harta awam dan swasta.
Di Tehran sahaja, kerosakan dianggarkan mencecah 3 trilion toman, melibatkan lebih 700 kedai, 750 bank, 414 bangunan kerajaan, ratusan pusat polis dan Basij, serta puluhan masjid, sekolah dan stesen metro.
Keganasan tersebut mengorbankan 2,427 nyawa, termasuk orang awam dan anggota keselamatan.
Antara mangsa adalah kanak-kanak seawal usia dua tahun yang ditembak di tempat awam atau di dalam kenderaan keluarga.
Laporan turut mendokumentasikan kekejaman melampau terhadap anggota keselamatan, termasuk ditikam, dibakar dan dimutilasi, menyerupai taktik kumpulan pengganas ekstremis.
Pihak berkuasa Iran mendedahkan bahawa ramai tahanan mengaku mempunyai hubungan dengan agensi perisikan asing, termasuk Mossad Israel.
Pendedahan ini selari dengan kenyataan terdahulu beberapa tokoh AS dan Israel, termasuk bekas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo serta akaun Mossad berbahasa Parsi di platform X, yang sebelum rusuhan berlaku telah memberi bayangan tentang kewujudan ‘ejen’ di dalam Iran.
Penganalisis di Tehran menilai rusuhan tersebut sebagai sebahagian daripada rancangan melemahkan Iran dari dalam, bagi membuka laluan kepada serangan ketenteraan asing.
Penilaian ini diperkuat dengan laporan tidak rasmi bahawa serangan AS dirancang pada 14 Januari, hari yang sama Iran secara mengejut menutup ruang udaranya.
Pada masa sama, Washington menghantar apa yang digelar sebagai ‘armada besar’ ke Teluk Parsi.
Justeru, cadangan Ted Cruz untuk terus mempersenjatai kumpulan bersenjata ini dilihat sebagai kesinambungan dasar gagal Amerika sejak 1980-an, termasuk sokongan terhadap kumpulan Mujahedin-e-Khalq (MEK) yang bertanggungjawab membunuh lebih 18,000 rakyat Iran.
Negara-negara serantau seperti Arab Saudi, Qatar, UAE dan Turkiye pula menggesa AS kembali kepada diplomasi dan menghidupkan semula perjanjian nuklear JCPOA yang ditinggalkan Washington pada 2018.
Iran menegaskan bahawa sebarang pencerobohan, walaupun terhad, akan dianggap sebagai perang habis-habisan, termasuk kemungkinan penutupan Selat Hormuz, serangan ke atas kepentingan ketenteraan AS di rantau ini serta serangan balas terhadap Israel.
Pemerhati antarabangsa mengingatkan bahawa pendekatan agresif ini hanya akan membawa kepada bencana, dengan penegasan bahawa Iran bukan Iraq, Syria atau Libya.
Pemerhati geopolitik menegaskan bahawa umat Islam dan negara-negara merdeka tidak boleh memandang ringan cubaan berulang kuasa besar untuk mencetuskan kekacauan dalaman demi kepentingan geopolitik mereka.
Sejarah membuktikan bahawa campur tangan asing atas nama ‘demokrasi’ sering berakhir dengan kemusnahan, pertumpahan darah dan penjajahan bentuk baharu.
Dalam konteks ini, keteguhan Iran mempertahankan kedaulatan negaranya dilihat sebagai peringatan bahawa penindasan imperialis tidak pernah membawa keamanan, sebaliknya hanya mengundang kebangkitan penentangan.
Justeru, umat Islam wajib berani menyebut yang benar bahawa polisi global yang bersenjata dan kebal undang-undang seperti yang diamalkan AS bukanlah penjaga keamanan, tetapi punca keganasan dunia.
Dunia Islam sehubungan itu diingatkan bahawa keamanan sebenar hanya terjamin melalui keadilan, kedaulatan dan penolakan terhadap hegemoni kuasa zalim, selaras dengan prinsip Islam yang menolak kezaliman dalam apa jua bentuk.- HARAKAHDAILY 29/1/2026











