
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden memuat naik status berunsur sinikal keras yang dipercayai sebagai mengulas perkembangan terkini Perikatan Nasional (PN).
Hantaran tersebut walaupun diketengahkan beliau sebagai kisah dalam pasukan bola, namun insiden tidak wajar yang timbul cuba disampaikan sebagai sebab kepada kemelut sedang berlaku dalam gabungan itu.
“Kisah satu pasukan bola. Keeper letak jawatan penjaga gol. Coach panggil pasukan bincang nak lantik keeper baru. Tiba-tiba keeper yang letak jawatan mintak tiang gol dimansuhkan.
“Kata dia, tak perlu ada gol. Maka tak perlu ada keeper. Tak perlu bincang. Kalau macam tu, lebih baik turap ja padang bola tu dengan simen. Pasang bumbung. Buat dewan kenduri. Tak perlu ada padang.
“Zaman sekarang makan kawan lagi sedap daripada makan kenduri,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PN dalam hantaran status dimuat naik di media sosial beliau sebentar tadi.
Reaksi Afnan itu dipercayai ditujukan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terdahulu mendakwa berlaku kesepakatan parti-parti anggota PN khususnya PAS dan BERSATU terhadap beberapa perkara di kediaman beliau pada 16 Januari lalu.
Antaranya rombakan struktur dengan mewujudkan Majlis Presiden diketuai BERSATU dan Majlis Eksekutif diketuai PAS serta memansuhkan jawatan Pengerusi PN, sekali gus meminda Perlembagaan PN.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam surat tersebut turut mengundang semua Presiden parti anggota PN untuk hadir ke ‘pre-council’ di kediaman beliau pada Khamis, 29 Januari 2026 jam 8.30 malam.
Undangan beliau itu dinyatakan sebagai ganti kepada notis jemputan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN telah dikeluarkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Timbalan Setiausaha Agung PN yang dijadualkan pada waktu sama ‘pre-council’ dicadang Muhyiddin. – HARAKAHDAILY 28/1/2026











