
KUALA LUMPUR: PAS tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan demikian sebagai reaksi terhadap perkara-perkara terkandung di dalam surat Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Presiden PAS, GERAKAN dan MIPP.
“Pihak kami kesal dengan penularan surat Presiden BERSATU yang ditujukan kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN bertarikh 27 Januari 2026, seperti yang tersebar kepada pihak media.
“Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN, untuk perhatian sewajarnya,” ujar beliau sebagai reaksi kepada pertanyaan media.
Terdahulu surat Muhyiddin yang turut tersebar kepada media itu mendakwa kesepakatan parti-parti anggota PN khususnya PAS dan BERSATU terhadap beberapa perkara di kediaman beliau pada 16 Januari lalu.
Antaranya rombakan struktur dengan mewujudkan Majlis Presiden diketuai BERSATU dan Majlis Eksekutif diketuai PAS serta memansuhkan jawatan Pengerusi PN, sekali gus meminda Perlembagaan PN.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam surat tersebut turut mengundang semua Presiden parti anggota PN untuk hadir ke ‘pre-council’ di kediaman beliau pada Khamis, 29 Januari 2026 jam 8.30 malam.
Undangan beliau itu dinyatakan sebagai ganti kepada notis jemputan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN telah dikeluarkan Takiyuddin selaku Timbalan Setiausaha Agung PN yang dijadualkan pada waktu sama ‘pre-council’ dicadang Muhyiddin. – HARAKAHDAILY 28/1/2026











