
KUALA LUMPUR: Perlembagaan PAS menjadi paksi pergerakan parti dengan disiplin jemaah yang dipandu oleh ulama, di mana ia menjadi sumber kekuatan PAS sejak dahulu hingga kini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.
Perlembagaan PAS juga menurut beliau, menjadi rujukan utama jika berlaku sebarang perselisihan di mana setiap kes atau aduan dikemukakan akan dirujuk Perlembagaan, bukannya sentimen atau emosi, kerana itulah disiplin jemaah.
Ustaz Idris turut mengimbau pesanan bekas Timbalan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Hassan Shukri bahawa Perlembagaan PAS bukan al-Quran, namun segala terkandung di dalamnya tidak bercanggah kitab Allah itu dan prinsip Islam.
“Inilah kekuatan PAS yang paling besar; PAS memiliki Majlis Syura Ulama’ (MSU) yang dipimpin oleh Mursyidul Am, bagi memastikan dasar dan perjalanan parti tidak menyeleweng daripada Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas.
“Jika berlaku penyelewengan, MSU akan membuat keputusan dan mengambil tindakan. Jika wujud kekaburan dalam Perlembagaan, MSU diberi kuasa mentafsirnya.
“Saya masih ingat dalam satu kes yang dirujuk kepada MSU berkaitan tafsiran umur keahlian Dewan Pemuda, sama ada had umur 40 tahun dikira pada 1 Januari atau tarikh sebenar kelahiran.
“MSU memutuskan bahawa umur 40 tahun dikira pada tarikh sebenar lahir, bukan 1 Januari. Maka seseorang masih layak memegang jawatan selagi mesyuarat diadakan sebelum tarikh genap 40 tahun tersebut,” ujarnya.
Ustaz Idris dalam keterlibatannya selama ini bersama PAS pernah menempuh pengalaman mengendalikan hal-hal berkaitan, menerusi ilmu dititipnya daripada Almarhum Ustaz Hassan yang digelar ‘Perlembagaan PAS’.
Beliau juga pernah diberi amanah selaku Setiausaha Jawatankuasa Tatatertib PAS yang dipengerusikan Dato’ Dr Mahfodz Mohamed di bawah kepimpinan Al-Mursyidul Am PAS, Almarhum Tan Sri Tuan Guru Abdul Aziz Nik Mat.
Selain itu, MSU juga kata beliau yang turut merupakan salah seorang anggota badan dasar itu, berperanan menapis dan meluluskan calon-calon pilihan raya dicadangkan PAS Kawasan dan PAS Pusat, bagi memastikan kelayakan dan integriti calon.
Sementara itu, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dipimpin oleh Presiden pula ujar bekas Menteri Agama itu, mengurus urusan harian parti, keahlian, strategi, kewangan, kempen, serta penentuan kerusi akan ditandingi.
“Sebab itu saya sentiasa menasihati pimpinan di semua peringkat di dalam usrah, tampin, liqa’ fikri dan pertemuan dalaman, jangan sesekali membelakangkan Perlembagaan PAS.
“Inilah yang membezakan PAS dan menjadi sumber kekuatannya sejak dahulu hingga kini,” ujar beliau yang sekarang merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai. – HARAKAHDAILY 28/1/2026











